Anda di sini

Mayat terapung di sungai Kampung Jemukan, Samarahan

Advertisement
 

KOTA SAMARAHAN: Mayat seorang lelaki dijumpai terapung di Sungai Kampung Jemukan Ulu, Asajaya dekat sini lewat petang Isnin.

Difahamkan, mayat yang belum diketahui identitinya itu dilihat terapung oleh penduduk kampung yang kemudian terus memaklumkan kepada polis.

Beberapa anggota dari Balai Polis Asajaya hadir di lokasi kejadian dan mayat tersebut kemudian dibawa ke darat dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Sehingga berita ini ditulis, polis belum mengeluarkan kenyataan.

Penemuan mayat kali ini adalah merupakan kes kedua direkodkan di Kota Samarahan untuk bulan ini selepas kes lelaki warga asing ditemukan mati di dalam parit berdekatan Institut Penyelidikan Tanah Gambut (TROPI) pada 15 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Lee Chong Chern mengesahkan penemuan tersebut dan memberitahu mayat terbabit dikenal pasti sebagai Suhaidi Along berusia 41 tahun juga berasal dari Kampung Jemukan.

“Mayat tersebut ditemui sekitar pukul 6.15 petang semalam berhampiran Sekolah Kebangsaan Jemukan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka di sebelah kiri kepala mangsa dan dijadualkan bedah siasat akan dijalankan pada hari ini,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • oleh
  • Advertisement