Anda di sini

Ancaman tsunami: Agensi di Indonesia minta orang ramai bertenang

Advertisement
 

JAKARTA: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan ancaman tsunami di sepanjang pantai selatan Pulau Jawa jika mereka mengambil langkah-langkah mitigasi untuk meminimumkan kesan bencana, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan agensi Indonesia mengenai kebimbangan yang semakin meningkat berhubung fenomena itu.

Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Agus Wibowo meminta orang ramai kekal berhati-hati dan berkata beberapa langkah mitigasi boleh diambil dalam kes gempa bumi yang berpotensi mencetuskan tsunami, seperti prinsip 20-20-20.

Jika gegaran sesuatu gempa bumi berlaku selama 20 saat, berpindah secepat mungkin kerana tsunami mungkin menyusuli dalam tempoh 20 minit; berlindung di sebuah bangunan yang  mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 20 meter, lapor Jakarta Post yang memetik kenyataan Agus.

Satu lagi usaha mitigasi penting ialah membina bangunan anti-gempa bumi, katanya.

Beliau turut mencadangkan memuat turun aplikasi InaRisk, yang boleh diakses di laman sesawang BNPB, untuk mengetahui maklumat lanjut dan amaran berkaitan bencana alam yang berpotensi.

Pemerintah Indonesia telah mewujudkan program Ekspedisi Destana, yang menyaksikan beberapa pasukan dihantar ke kampung-kampung sepanjang pantai selatan Pulau Jawa untuk mendidik penduduk mengenai mitigasi bencana.

Daryono, ketua unit maklumat gempa bumi dan amaran awal tsunami di bawah Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), berkata pantai selatan Pulau Jawa adalah lebih terdedah kepada kesemua bencana alam ini susulan kewujudan zon benam antara pelantar Eurasia dan Indo-Australia.

Beliau berkata terdapat beberapa langkah mitigasi yang boleh diambil oleh orang ramai seperti  menandakan kawasan pantai yang selamat dari tsunami dan membangunkan kapasiti umum dalam mendepani bencana.

Widjo Kongko, seorang pakar tsunami dari Badan Penilaian dan Penerapan Teknologi (BPPT), pada 17 Julai berkata pantai selatan di Pulau Jawa, terutama Yogyakarta, boleh mengalami gempa bumi bermagnitud 8.8 dan tsunami setinggi 20 meter.

Zon benam wujud sepanjang pantai selatan Pulau Jawa sehingga ke timur Pulau Sumba dan selatan Selat Sunda, katanya. - Bernama 

Advertisement