Anda di sini

Mesti ekonomi digital

Advertisement
 Abang Johari berinteraksi dengan robot Sophia pada Sidang Kemuncak Sarawak Beyond Paradigm di Kuching semalam. Turut kelihatan Abdul Kadier (kiri). — Gambar Muhd Rais Sanusi
CANGGIH: Abang Johari berinteraksi dengan robot Sophia pada Sidang Kemuncak Sarawak Beyond Paradigm di Kuching semalam. Turut kelihatan Abdul Kadier (kiri). — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak tiada pilihan dan harus berganjak daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi digital untuk bergerak maju selari dengan revolusi industri 4.0 (IR4.0).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, ekonomi dunia dijangka fokus kepada kecerdasan buatan atau Artificial Intellingence (AI), bioteknologi dan nanoteknologi.

“Sarawak mempunyai sumber untuk membangunkan  ketiga-tiga fokus ekonomi ini dan kita akan berkolaboratif dengan pakar-pakar termasuk Huawei Technologies.

“Dari segi bioteknologi dan nanoteknologi pula, kita kaya dengan biodiversiti dan mempunyai sumber bahan mentah untuk tujuan ini.

“Persoalannya sekarang adakah kita mempunyai infrastruktur dan Sarawak tiada pilihan untuk  menyuntik dana sendiri RM1 bilion bagi menaik taraf infrastruktur digital di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Sarawak Beyond Paradigm yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Sidang kemuncak dua hari iaitu pada 20 dan 21 Julai ini merupakan anjuran Serba Dinamik Holdings dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai rakan penganjur.

Sidang kemuncak ini turut mendapat kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Microsoft Malaysia, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Huawei termasuk rakan teknologi TM One disokong Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Tujuannya adalah untuk membawa bersama perniagaan bekerja dalam penyelesaian IR4.0 dan menyatukan mereka untuk memulakan idea, membincangkan konsep serta melaksanakannya.

Pada sidang kemuncak tersebut, Abang Johari turut berkesempatan berinteraksi dengan robot Sophia yang merupakan robot humanoid sosial dikuasakan oleh AI.

Robot Sophia ditampilkan buat pertama kali di Malaysia dan mengambil bahagian dalam beberapa bahas dan merupakan ahli panel dalam beberapa sesi di Kuala Lumpur dan Kuching.

Hadir sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais, Penasihat Sains Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Serba Dinamik Holdings Abdul Kadier Sahib.

  • oleh
  • Advertisement