Anda di sini

Gelombang haba maut landa AS

Advertisement
 Seorang lelaki tidur di kaki lima jalan dalam cuaca panas di Philadelphia, kelmarin. — Gambar AFP
BERBAHAYA: Seorang lelaki tidur di kaki lima jalan dalam cuaca panas di Philadelphia, kelmarin. — Gambar AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bermandi peluh sepanjang hujung minggu yang menyaksikan cuaca panas berbahaya, dengan kota-kota utama termasuk New York, Philadelphia dan Washington mengalami suhu mencecah 38 darjah Celsius.

Gelombang haba melampau dari dataran bahagian tengah barat negara hingga ke pantai Atlantik menyebabkan hampir 150 juta orang menghadapi kesukaran untuk menyejukkan diri dalam keadaan suhu yang amat tinggi.

Nilai indeks kepanasan yang menggabungkan kesan kepanasan dengan kelembapan dapat mencapai 110 hingga 115 darjah Fahrenheit, khususnya di bahagian timur, kata Khidmat Cuaca Negara (NWS).

Ia memberi amaran bahawa kelembapan dan suhu tinggi yang berbahaya dapat dengan cepat menyebabkan tekanan kepanasan atau strok haba jika langkah berjaga-jaga tidak diambil.

Kepanasan itu dijangka berterusan sehingga lewat semalam apabila sistem tekanan tinggi di perairan pantai Atlantik meniup udara subtropika yang amat panas.

Orang ramai digesa sentiasa minum air, menjaga orang sakit dan warga emas, duduk di dalam rumah dan tidak meninggalkan kanak-kanak atau haiwan dalam kereta.

Gelombang haba sudah meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa, termasuk dua awal minggu lepas di negeri timur Maryland.

Di Arkansas, bekas pemain NFL Mitch Petrus meninggal dunia pada Khamis setelah bekerja di luar kedai keluarganya.

Mangsa berusia 32 tahun itu mati kerana strok haba, koroner Pulaski County dipetik sebagai berkata dalam media AS.

Amaran kepanasan juga telah dikeluarkan bagi beberapa bahagian di timur Kanada.

Di New York, Datuk Bandar Bill de Blasio mengisytiharkan darurat kepanasan.

Triatlon Bandaraya New York, yang dijadual diadakan semalam, dibatalkan buat pertama kalinya sejak diwujudkan pada 2001.

Kira-kira 4,000 peserta, kebanyakan mereka melakukan perjalanan jauh untuk berlumba, akan menerima bayaran balik sepenuhnya bagi yuran penyertaan sebanyak AS$399 (RM1,676), kata penganjur.

OZY Fest selama dua hari, sebuah festival makanan, komedi dan muzik yang dijadual diadakan di Central Park pada hujung minggu semalam, turut dibatalkan.

Di Washington, sebuah konsert jazz terbuka di Galeri Kesenian Negara telah dibatalkan.

Sementara itu, Kota New York membuka 500 pusat penyejukan bagi penduduk.

“Sabtu dijangka amat teruk, sehingga Ahad,” kata de Blasio dalam amaran kepada bandar raya tersebut.

“Ini adalah perkara yang amat serius.”

Sekurang-kurangnya tiga pembela awam berkata dalam Twitter bahawa banduan di kompleks penjara Rikers Island yang terkenal di New York menderita kerana tiada pendingin hawa, dan beberapa pengawal telah menutup kipas sebagai hukuman, yang menghasilkan keadaan berbahaya.

Kumpulan bantuan guaman Brooklyn Defender Services berkata beberapa banduan tidak ada pakaian musim panas, hanya seluar dalam panjang yang disediakan kumpulan itu pada musim salji lepas.

Pegawai tertinggi Jabatan Penjara di bandar raya itu berada di kemudahan tersebut untuk memantau reaksi kepada gelombang habat bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua orang di kemudahan itu, tulis De Blasio dalam Twitter.

Jabatan itu menyebut dalam satu kenyataan kepada AFP bahawa kakitangan tambahan berada di lokasi untuk mengagihkan pakaian musim panas, dan klinik dibuka sepanjang masa untuk merawat simptom berkaitan kepanasan.

Mereka dalam unit tanpa pendingin hawa diberi akses kepada kipas, ais, air dan pelbagai pancuran sejuk.

Grid elektrik bandar raya setakat ini dapat menangani permintaan tambahan, yang berlaku hanya seminggu selepas kejadian bekalan elektrik terputus secara besar-besaran yang disebabkan oleh masalah mekanikal, menyebabkan puluhan ribu penduduk Manhattan dalam kegelapan.

Di Washington, suhu rendah pada waktu pagi setinggi 81 darjah Fahrenheit hanya satu darjah di bawah rekod pada 2015, dengan peluang yang bagus untuk mencecah 100 darjah pada hari ini buat pertama kali sejak 2016, akhbar The Washington Post melaporkan.

Suhu tiga digit di bahagian timur laut AS adalah luar biasa.

Akhbar The Philadelphia Inquirer membayangkan penduduk tempatan mungkin mahu mencari kelegaan di Miami atau Phoenix, yang biasanya panas tetapi sekarang 25 darjah lebih sejuk.

Philadelphia kelihatan bakal mencipta rekod baharu bagi hari paling panas pada 20 Julai sejak 1930.

Di Boston, di mana khidmat cuaca berkata kelmarin dan semalam suhunya amat panas, pegawai bandar raya memansuhkan bayaran masuk kolam renang awam. — AFP

Advertisement