Anda di sini

Belia lepasan sekolah diberi peluang menyertai PROTEGE

Advertisement

ALOR SETAR: Belia lepasan sekolah akan diberi peluang untuk menyertai program  ‘Professional Training & Education for Growing Entrepreneurs’ (PROTEGE)  di premis perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda menceburi bidang itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, program PROTEGE yang sebelum ini dikenali sebagai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) itu memberikan fokus kepada graduan menganggur namun ia perlu diperluaskan tanpa mengira latar belakang akademik.

Beliau berkata menerusi program seperti itu ia sekali gus akan memberikan pendedahan secara langsung kepada mereka untuk menerokai bidang IKS yang kini semakin berkembang serta boleh menjadi sumber pendapatan lumayan.

“Jika mereka tidak mampu untuk menyambung pelajaran, maka latihan inilah akan menjadi landasan untuk mereka mula mengasah potensi dan kemahiran sebelum menjadi usahawan IKS.

“Namun dalam dalam hal ini, kita harus membimbing mereka supaya mereka ada arah tuju dan tidak menunggu kerja makan gaji semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Usahawan Tani Kedah 2019 di sini semalam.Untuk rekod, PROTEGE adalah sebagai penambah baikan kepada SL1M yang diwujudkan sejak 2011 dengan dua modul latihan baharu bercirikan keusahawanan diperkenalkan.

Dua modul latihan baharu keusahawanan itu merupakan sebahagian daripada tujuh modul latihan wajib PROTEGE ‘Ready-To-Work’ (RTW) yang akan diikuti pelatih selama lapan bulan hingga setahun.

Sementara itu, Dr Mohd Hatta berkata kementeriannya kini bercadang memperluaskan produk IKS ke Pattani, Thailand kerana wilayah itu dilihat mempunyai pasaran luas untuk produk berkenaan dipasarkan sekali gus menggalakkan lebih ramai golongan belia menyertai bidang keusahawanan.

“Untuk membawa produk ini ke sana, kita kena pastikan produk yang dihasilkan IKS ini memenuhi kriteria samada daripada (segi) pembungkusan, pelabelan dan sebagainya...kita tengok banyak produk Thailand masuk ke Malaysia dan diterima baik masyarakat kita, sekarang kita usaha pula untuk masukkan produk IKS tempatan dibawa ke Thailand terutama ke Pattani dulu,” katanya. — Bernama

Advertisement