Anda di sini

Anak ketua polis Australia dan kekasihnya ditemui mati di Kanada

Advertisement

MONTREAL: Dua mangsa pembunuhan yang dijumpai minggu lepas di barat Kanada adalah anak seorang ketua polis di Australia serta teman wanita pemuda itu dari Amerika Syarikat (AS), kata polis Kanada.

Mayat Lucas Robertson Fowler, 23, anak jati Sydney, dan Chynna Noelle Deese, 24, dari Carolina Utara, dijumpai pada Isnin di sebuah kawasan terpencil di lebuh raya dalam wilayah utara British Columbia, polis menyebut dalam satu kenyataan lewat Jumaat lepas.

Sebuah van mini Chevrolet berwarna biru yang didaftarkan di wilayah berdekatan Alberta dijumpai di tepi jalan, kata Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) tanpa mengesahkan sama ada van tersebut adalah milik pasangan tersebut.

Fowler sudah menetap di British Columbia, kata media berita tempatan, tetapi pasangan itu kerap mengembara.

Keluarga Deese memberitahu media AS bahawa pasangan itu telah melakukan perjalanan menerusi Kanada.

Fowler merupakan anak Stephen Fowler, ketua inspektor polis di New South Wales, Australia.

Seorang pegawai polis Australia berkata pasangan itu mengalami apa yang boleh digambarkan sebagai keadaan yang dahsyat.

RCMP berkata siasatan masih sangat awal lagi dan ia belum lagi jelas sama ada Lucas dan Chynna telah disasari atau ini adalah jenayah peluang.

Keluarga kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Kanada, kenyataan RCMP menyebut.

“Untuk kehilangan seseorang yang begitu muda dan bertenaga, yang menjelajah dunia dan hanya menikmati kehidupan sepenuhnya, adalah sangat menyedihkan,” keluarga Fowler menyebut dalam satu kenyataan yang dipaparkan dalam laman sesawang polis Australia.

“Ucapan terima kasih kami atas segala kasih sayang dan keprihatinan anda.

“Setakat ini kita hanya dapat maju ke depan seminit sekali, dan minit-minit itu bergerak dengan begitu perlahan,” kata keluarga tersebut.

Penyiasat masih berada di lokasi kejadian dan meminta sesiapa yang ada melawat tapak perkhemahan berdekatan atau Liard Hot Springs, sebuah pusat perhentian popular kira-kira 20 kilometer dari tempat di mana pasangan berkenaan dijumpai, untuk menghubungi pihak berkuasa.

RCMP berkata, kawasan tersebut“popular di kalangan pelancong dan pencinta alam semula jadi.

Media tempatan melaporkan mayat ketiga telah dijumpai Jumaat lepas di sebuah kawasan sepanjang lebuh raya Kanada. Bagaimanapun, RCMP mengesahkan individu tersebut dijumpai pada jarak lebih tujuh jam menggunakan kereta dari lokasi dua pembunuhan berkenaan.

“Tiada tanda menunjukkan ada kaitan di antara kedua-dua kes tersebut,” kata Sarjan Janelle Shoihet dari RCMP kepada AFP. — AFP

Advertisement