Anda di sini

Suspek kes bunuh direman

Advertisement
 Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bau untuk permohonan reman, semalam.
DIREMAN: Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bau untuk permohonan reman, semalam.

KUCHING: Seorang lelaki direman tujuh hari mulai semalam untuk membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui di dalam bagasi di tebing sungai Kampung Pangkalan Bau, petang kelmarin.

Suspek, 20-an, ditangkap sekitar jam 11.30 malam kelmarin di pekarangan Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Suspek dikatakan memang diburu polis sejak beberapa hari lepas susulan laporan kehilangan seorang pemilik kedai jahit pakaian terkemuka di pusat bandar raya.

Selain itu, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) dan telefon bimbit milik suspek.

Terdahulu, mayat yang ditemui di dalam bagasi tersebut mungkin mayat pemilik kedai jahit berkenaan susulan penyebaran berita mengenai kehilangan mangsa melalui media sosial.

Ahli keluarga mangsa memohon orang ramai untuk mengesan mangsa selepas tidak pulang dan gagal dihubungi sejak beberapa hari lepas.

Selain itu, turut kelihatan beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tujuan pengecaman sebaik sahaja mayat tersebut tiba lewat malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon semasa dihubungi mengesahkan mayat tersebut telah dikenal pasti berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa.

“Mayat dicam oleh ahli keluarga mangsa melalui baju, seluar, tali pinggang, kasut, stokin dan seluar dalam di Jabatan Forensik HUS,” katanya.

Bagaimanapun katanya, maklumat identiti mangsa masih belum dapat didedahkan sementara siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuai semasa dihubungi turut mengesahkan seorang lelaki telah ditangkap untuk membantu siasatan.

“Ya, satu tangkapan dan dia akan direman hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sekitar jam 2 petang semalam, suspek diiringi Pegawai Penyiasat ASP Mohd Farid Abdul Ghani bersama dua anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Bau tiba di Mahkamah Majistret Bau.

Permohonan reman ke atas suspek kemudiannya diluluskan selama tujuh hari hingga 27 Julai ini oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kuching Yang Arif Aida Montong.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

  • oleh
  • Advertisement