Anda di sini

Kematian cecah 10, letupan besar gegar loji gas tengah China

Advertisement
 Sebuah kereta dihempap tiang dekat lokasi letupan di kilang Henan Coal Gas Group di bandar Yima, wilayah Henan di tengah China semalam. — Gambar AFP
MUSNAH: Sebuah kereta dihempap tiang dekat lokasi letupan di kilang Henan Coal Gas Group di bandar Yima, wilayah Henan di tengah China semalam. — Gambar AFP

BEIJING: Angka kematian akibat satu letupan besar yang menggegarkan sebuah loji gas di tengah China meningkat kepada 10 orang, menurut media negara semalam, dengan lima orang lagi masih hilang.

Letupan pada Jumaat lepas di kilang Kumpulan Gas Arang Henan telah menyebabkan seramai 19 orang mengalami kecederaan serius serta ramai lagi mengalami kecederaan ringan, menurut pihak penyiaran negara CCTV.

Letupan tersebut telah memecahkan cermin tingkap dan pintu di beberapa bangunan dalam jarak tiga kilometer.

Ia berlaku di unit pemisahan udara di kilang Arang Henan, kata CCTV, dengan mereka yang tercedera dihantar ke empat hospital berlainan. Semua pengeluaran di loji telah dihentikan.

“Banyak cermin tingkap dan pintu di dalam satu jarak tiga kilometer telah pecah, dan beberapa pintu dalaman yang turut pecah akibat letupan,” kata CCTV dalam akaun media sosial Weibo yang menyerupai Twitter.

Media tempatan menunjukkan rakaman video amatur bagi satu kepulan asap hitam besar-besaran yang keluar dari kilang dan serpihan berselerakan di jalan raya.

Beberapa gambar lain menunjukkan pintu dan tingkap bagi beberapa rumah telah pecah dan kedai yang bertutup dengan pintu besi depannya kemek.

Seorang lelaki yang berlumuran darah telah dilihat dibantu keluar dari sebuah van dalam sebuah video dihantar di dalam media sosial.

AFP tidak segera mengesahkan kesahihan rakaman tersebut.

Kemalangan perindustrian yang berbahaya adalah biasa di China, di mana peraturan keselamatan adalah sering kali kurang dikuatkuasakan.

Pada Mac lepas, satu letupan di sebuah kilang kimia di wilayah timur Jiangsu mengorbankan 78 orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain.

Letupan yang sangat kuat di bandar timur Yancheng telah meruntuhkan beberapa bangunan di taman perindustrian, memecahkan cermin tingkap bagi beberapa rumah berhampiran dan malah meremukkan pintu besi garaj.

Pihak berkuasa telah menahan 24 orang berhubung dengan letupan pada 21 Mac, yang mendesak kerajaan agar mengarahkan satu pemeriksaan ke atas beberapa firma kimia di seluruh negara.

Seminggu selepas letupan tersebut, tujuh orang meninggal dunia selepas satu letupan ke atas sebuah pengeluar komponen elektronik di wilayah yang sama.

Pada November, satu kebocoran gas di sebuah loji di utara China di bandar Zhangjiakou, yang akan menjadi tuan rumah bagi Olimpik Musim Sejuk 2022, mengorbankan 24 orang dan mencederakan 21 orang lagi.

Gas ‘chloroethylene’ yang bocor telah berhubung dengan satu punca kebakaran menyebabkan letupan, kata pihak berkuasa dalam satu laporan Februari, yang turut mendakwa firma kimia China bertanggungjawab bagi kemalangan telah menyembunyikan maklumat dan mengelirukan pihak penyiasat.

Pada 2015, China mengalami salah satu dari kemalangan perindustrian yang terburuk ketika letupan kimia gergasi di bandar pelabuhan utara Tianjin mengorbankan sekurang-kurangnya 165 orang. — AFP

Advertisement