FILEM aksi hebat, ‘Sangkar’ baru-baru ini telah dilancarkan di Battle Arena, Jaya Shopping Centre dengan kerjasama mega di antara Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.
Filem yang merupakan filem Melayu pertama yang menampilkan Mixed Martial Arts (MMA) ini bakal menggegarkan gelanggang pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura mulai 29 Ogos 2019.
Mengisahkan tentang Adam, seorang pejuang MMA yang angkuh, telah memenangi sebuah pertarungan dengan taktik kotornya. Apabila dicabar di luar Sangkar, Adam secara tidak sengaja mencederakan pihak lawannya, Johan.
Adam dibelenggu rasa bersalah dan risau kerana Johan tahu bahawa dialah punca menyebabkan kecederaan itu. Tetapi lama kelamaan, Adam secara tidak sengaja telah menjadi sebahagian daripada hidup Johan.
Dia kemudian mendapat tahu kecederaan yang telah menimpa Johan itu telah menyebabkan Lea dan Reza, ahli keluarga Johan hilang punca rezeki dan harapan. Mampukah Adam menebus kesalahannya demi masa depan Johan dan adik-adiknya?
Penggambaran filem ini telah dijalankan pada tahun 2018 dan mendapat sentuhan hebat oleh sutradara terkemuka Kabir Bhatia.
Sangkar menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Adam Mika, Ray, Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh dan atlet peninju profesional MMA sebenar iaitu James ‘Sledgehammer’ Mcsweeney serta Saiful Merican, Rashid Salleh, Peter Hugh Davis dan Terry Gallyot.
Para peminat boleh beramah mesra dengan barisan pelakon hebat ini di siri jelajah filem Sangkar yang akan bermula dari utara tanah air, Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada 30 Ogos sehingga 1 September.
Seterusnya siri jelajah ini akan berada di bahagian selatan Malaysia bersama bangsa Johor dan Melaka dari 6 sehingga 8 September dan akhirnya akan berada di Lembah Klang pada 14 dan 15 September.
Poster filem dan treler rasmi Sangkar boleh ditonton di laman sosial Astro, Primeworks Studios, Infinitus dan mm2 Entertainment.
Sementara itu, runut bunyi rasmi lagu tema yang mengiringi filem ini berjudul ‘Fighter’ dan dinyanyikan oleh rapper popular, Aman RA.
Lagu berentak ‘up beat’ ini telah mendapat sentuhan lirik oleh Aman RA, komposer oleh Aman RA, Navigator dan penerbit oleh Navigator, Penerbit Bersama oleh Aman RA. Lagu ini dilancarkan di Spotify pada 16 Julai lalu.
Album runut bunyi filem Sangkar juga bakal menampilkan tiga lagu baru yang memperkenalkan bakat baru dalam arena ‘hip-hop’ tempatan, iaitu Dinho, DeLaFlare, Mali & SXPH (‘Sangkar’), NtahSape2Ntah (‘Luar Biasa’) dan 000 & Kid Raww (‘Jangan’). Skor muzik filem digubah oleh komposer terkenal, Luka Kuncevic.
Lagu-lagu ini akan berada di semua platform digital dari 23 Ogos.
Pengurus Besar Filem Dan Drama Primeworks Studios, Nor Shahila Harun Shah berkata, “Saya sangat teruja untuk mempersembahkan filem yang berkualiti tinggi dari segi penerbitan melalui kerjasama Primeworks Studios bersama tiga rakan penerbit. Gabungan visi dan sumber di bawah syarikat-syarikat ini merupakan usaha kami melonjakkan filem tempatan ke tahap yang lebih tinggi. Filem ini dihasilkan untuk membawa mesej-mesej positif tentang kesukanan, kekeluargaan dan penebusan.”
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad berkata, “Kami yakin dengan dua gabungan syarikat media Malaysia, Media Prima dan Astro bersama Infinitus Gold dan mm2 Entertainment mampu mencipta sejarah baru dalam industri perfileman tanah air. Dengan gabungan pengalaman dan kepakaran kreatif yang ada pada setiap pihak, ia mampu memberi kelebihan pada projek ini dalam menghasilkan sebuah filem yang berkualiti tinggi dan tampil dengan rangka pemasaran yang meluas. Strategi promosi telah dibuat sejak berbulan lalu dan kini kami rasa teruja kerana tiba masanya untuk melaksanakan secara menyeluruh dengan kempen utamanya adalah Sangkar Bukan Sekadar Pertarungan.”
Dalam pada itu, Pengarah dan Penerbit Eksekutif, Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai menekankan bahawa filem Sangkar bukan sahaja mempunyai jalan cerita yang segar malah menampilkan kelainan dari pelbagai aspek. Pihaknya yakin dengan sokongan dari segi penyusunan strategi promosi yang efektif mampu menggerakkan hati penonton untuk ke pawagam.”