Anda di sini

Rakyat diperkasa

Advertisement
 Abang Johari bergambar bersama tetamu kehormat lain sebelum melakukan simbolik pecah tanah Gelanggang Serbaguna Berbumbung SJK (C) Chung Hua Tudan, semalam.
KEMUDAHAN: Abang Johari bergambar bersama tetamu kehormat lain sebelum melakukan simbolik pecah tanah Gelanggang Serbaguna Berbumbung SJK (C) Chung Hua Tudan, semalam.

MIRI: Sarawak mampu menjadi negeri berpengaruh dengan memperkasakan modal intelektual dalam kalangan rakyatnya, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Sarawak juga boleh menjadi negeri terkaya kerana faktor kemanusiaan yang menguasai pelbagai bidang termasuk sains dan matematik.

“Kerajaan Sarawak akan melabur untuk modal intelektual kerana ia adalah masa depan,” ujarnya ketika merasmikan Blok Bangunan Baharu dan Majlis Pecah Tanah Gelanggang Serbaguna Berbumbung SJK (C) Chung Hua Tudan, semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, ADUN Senadin yang juga Pengerusi Pengelola Datuk Lee Kim Shin, ADUN Piasau merangkap Setiausaha Lembaga Pengurusan Sekolah Datuk Sebastian Ting dan Guru Besar Law Sie Kong.

Dengan memberi contoh negara Estonia, Abang Johari berkata walaupun jumlah rakyatnya kecil daripada Sarawak dengan populasi hanya 1.3 juta, Estonia berjaya muncul sebagai negara berpengaruh di Eropah kerana kepakarannya dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Sarawak juga katanya, boleh mencapai kejayaan sama dengan keupayaan rakyatnya menguasai ilmu-ilmu terkini.

“Kita boleh mendigitalkan Sarawak dan dengan memiliki modal intelektual, Sarawak boleh menjadi negeri penting di rantau ini. Inilah cita-cita kita,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abang Johari mahu e-pembelajaran di sekolah diperluaskan dengan mengguna pakai peralatan digital untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar juga penting untuk memudahkan pencarian maklumat di Internet, katanya.

“Hari ini semua sudah berubah. Guru dan pelajar boleh berkomunikasi secara ‘interface’ yang boleh memperkayakan pengetahuan anak-anak kita,” jelasnya.

Tentang sekolah Cina di negeri ini, Abang Johari berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM8 juta pada tahun ini untuk membantu sekolah tersebut.

Sarawak katanya, juga mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk membenarkan pelajar meneruskan pengajian mereka ke luar negara seperti Singapura dan China.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) atas usaha gigih penubuhan sekolah itu yang dibuka pada 2007.

Beliau turut kagum dengan penguasaan bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada 28 etnik di sekolah tersebut.

Beliau memberitahu, ketika ini terhadap 71 peratus pelajar Bumiputera menuntut di sekolah Cina iaitu jumlah yang jarang diperolehi di Malaysia.

Pada majlis itu, SJK (C) Chung Hua Tudan menerima bantuan berjumlah RM340,000 daripada wakil rakyat dan syarikat.

Untuk projek blok baharu, sekolah itu menerima bantuan RM1 juta iaitu RM500,000 masing-masing daripada Abang Johari dan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Sekolah itu kini memiliki seramai 1,300 murid, 36 kelas dan 65 guru.

  • oleh
  • Advertisement