Anda di sini

Bengkel Jari-Jemari Kreatif asah kemahiran dan kreativiti

Advertisement
 Bengkel Jari-Jemari Kreatif anjuran MJKKK Sekuau, Oya dan Pakoh.
KEMAHIRAN: Bengkel Jari-Jemari Kreatif anjuran MJKKK Sekuau, Oya dan Pakoh.

MAJLIS Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (MJKKK) Sekuau, Oya dan Pakoh menganjurkan Bengkel Jari-Jemari Kreatif, baru-baru ini.

Bengkel membuat kasut sandal Pua Kumbu dan kain burie tersebut diadakan di Rumah Ambrose Ramping, Selangau dan Rumah Udi Serugin, Pakoh.

Dikendalikan oleh dua tenaga pengajar Dami Dingun dan Sebai Albert, bengkel itu telah mendapat sambutan baik daripada para peserta di  kawasan sekitar.

Dami berkata, penganjuran bengkel tersebut merupakan salah satu daripada program yang telah dianjurkan oleh MJKKK Sekuau, Oya dan Pakoh pada tahun ini.

Katanya, penghasilan kain burie adalah bidang yang berpotensi dijadikan kerjaya dan menjana pendapatan wanita sama ada sambilan atau sepenuh masa.

 Para peserta Bengkel Jari-Jemari Kreatif anjuran MJKKK Sekuau, Oya dan Pakoh mempelajari cara membuat kasut sandal Pua Kumbu dan kain burie.
BELAJAR: Para peserta Bengkel Jari-Jemari Kreatif anjuran MJKKK Sekuau, Oya dan Pakoh mempelajari cara membuat kasut sandal Pua Kumbu dan kain burie.

“Namun, ia memerlukan kemahiran dan kreativiti dalam meneroka pasaran menerusi kepelbagaian seni kreatif yang dihasilkan.

“Mungkin ada beranggapan kemahiran ini hanyalah untuk membantu memperbaiki kelangsungan hidup diri sendiri atau keluarga,” jelasnya.

Menurutnya, bagi wanita yang memiliki matlamat menambah baik kehidupan mereka, kemahiran yang dipelajari itu sebenarnya mampu menjana pendapatan lumayan jika ia disertai dengan usaha tanpa putus asa.

“Kain burie merupakan salah satu daripada pakaian tradisional masyarakat Iban yang kini semakin diminati berikutan perubahan fesyen.

“Ia menggunakan kulit atau cengkerang siput sebagai hiasan pada kain dan coraknya digubah mengikut cita rasa masing-masing,” jelasnya kepada pemberita.

Dami berharap penganjuran bengkel dapat menambah pengetahuan dan kemahiran para peserta membuat kain burie dan rekaan kasut serta sandal Pua Kumbu.

 Hasil kreativiti para peserta membuat kasut sandal Pua Kumbu dan kain burie.
MENARIK: Hasil kreativiti para peserta membuat kasut sandal Pua Kumbu dan kain burie.

Sementara itu, Dami memberitahu mereka turut menyediakan bengkel kemahiran menghasilkan kain burie dengan yuran penyertaan RM180 seorang bagi peserta dalam kawasan Selangau dan RM200 peserta dari luar kawasan Selangau.

“Semua peralatan untuk sesi pembelajaran membuat kain burie ada disediakan.

“Selain itu, kami ada menyediakan bengkel membuat kasut daripada Pua Kumbu dengan setiap peserta dikehendaki membayar yuran RM50 seorang. Para peserta hanya dikehendaki membawa kasut atau sandal sendiri,” ujarnya.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Dami Dingon di talian 019-8595674 dan Sebai Albert 011-15869300.

  • oleh
  • Advertisement