Anda di sini

Guru muda dari Kapit johan Pidato Kenegaraan

Advertisement
 Mordi (berdiri, tengah) bergambar bersama pemenang pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Negeri Sarawak. — Gambar Penerangan
TAHNIAH: Mordi (berdiri, tengah) bergambar bersama pemenang pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Negeri Sarawak. — Gambar Penerangan

KUCHING: Guru muda dari Kapit, Canigia Uden Ben dinobatkan sebagai johan pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Negeri Sarawak.

Canigia, 25, berjaya menambat hati para juri menerusi pidatonya yang bertajuk Institusi Raja Lambang Kedaulatan Negara pada pertandingan akhir di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching di sini semalam.

Ditemui selepas pertandingan tersebut, Canigia berkata beliau sangat gembira dan bertuah kerana memenangi pertandingan kali ini melihat kepada pesertanya yang hebat-hebat belaka.

“Sejujurnya tajuk yang saya pilih untuk pertandingan ini adalah bidan terjun pada pertandingan peringkat daerah di Kapit.

“Oleh kerana saya tidak mempunyai idea sangat, jadi saya pilih tajuk ini dan buat yang terbaik dan mungkin kali ini rezeki saya untuk memenanginya,” katanya.

Susulan kemenangan semalam, Canigia akan mewa-kili Sarawak pada pertan-dingan pidato peringkat kebangsaan di Kedah pada September 2019.

Pertandingan pidato semalam merupakan program tahunan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak bagi meningkatkan rasa kecintaan serta kebanggaan masyarakat terhadap negara.

Seramai tiga peserta akhir bertanding pada pertandingan akhir semalam dengan tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Zufadli Emran (Lawas) dan Arif Adam Patahul Ariffin (Meradong).

Pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500, RM1,000 dan RM500 berserta piala dan sijil penyertaan.

Pertandingan akhir pidato semalam telah dihadiri Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak Ali Suhaili, Timbalan Pengarah Politeknik Kuching Chow Tio Kiong, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Komunikasi dan Multimedia Sarawak Dr Dusit Jaul dan Pengarah Jabatan Penyiaran Sarawak Zainal Abidin Asri.

Advertisement