Anda di sini

Persiapan istiadat pertabalan Agong lancar, 80 peratus siap

Advertisement
 Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar sebelum menandatangani Warkah Persilaan kepada Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri dan tetamu-tetamu diraja dari luar negara ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dijadualkan berlangsung 30 Julai di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
ISTIADAT PERTABALAN: Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar sebelum menandatangani Warkah Persilaan kepada Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri dan tetamu-tetamu diraja dari luar negara ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dijadualkan berlangsung 30 Julai di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Persiapan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang akan berlangsung pada 30 Julai ini, berjalan  lancar dengan 80 peratus telah siap.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, persiapan rapi dilakukan bagi memastikan semua acara yang dirancang sempena hari bersejarah itu berjalan dengan sempurna.

“Istiadat itu adalah proses yang panjang dan perlu dilakukan dengan teliti kerana melibatkan pelbagai  elemen antaranya protokol,” katanya ketika menjadi tetamu program bual bicara Nine11 terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini, semalam.

Terdapat beberapa acara yang dirancang sempena istiadat itu seperti Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat, Majlis Santapan Diraja, Lawatan Raja Permaisuri Agong ke Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur dan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja, Kuala Lumpur.

Selain itu, acara Khutbah Khas dan Solat Jumaat turut diadakan di Masjid Negara dengan khutbah yang disediakan secara khusus.

Sementara itu, menu yang akan dihidangkan pada Majlis Santapan Diraja akan mendapat sentuhan peribadi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Satu keistimewaan Majlis Santapan nanti, menu itu boleh dikatakan ‘personal touch’ Tunku Permaisuri sendiri. Tetamu dijemput patut berasa bertuah dan meluangkan masa untuk hadir serta merasai sendiri ‘personal touch’ menu-menu disediakan pada malam itu,” katanya.

Berkongsi mengenai peribadi Yang di-Pertuan Agong ketika berurusan dalam persiapan istiadat berkenaan, Hasnol berkata Baginda seorang yang mesra, mudah didekati dan sering berkongsi idea.

“Baginda sering memberi idea-idea bagaimana sesuatu perkara itu boleh dilaksanakan dengan lebih baik berbanding kebiasaan yang dilakukan, Baginda juga banyak bagi pandangan idea-idea baharu pada masa yang sama memastikan tradisi lama dikekalkan,” katanya. — Bernama

Advertisement