
MIRI: Pameran mainan teknologi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Playground yang akan diadakan buat kali kedua pada 3 dan 4 Ogos depan, dijangka mampu menarik 7,000 pengunjung.
Dianjurkan kerajaan negeri menerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS), acara tersebut turut disokong Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kerjasama Curtin University Malaysia Kampus Sarawak di Senadin.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) TEGAS Awangku Merali Pengiran Mohamed, acara dua hari itu diadakan sempena Pameran Sains dan Teknologi, Institut Kejuruteraan Elektronik dan Elektrik (IEEE) Curtin Sarawak di tiga lokasi iaitu Pustaka Miri, Dataran Kipas Miri dan Dewan Suarah Miri.
“Perasmian acara ini yang julung kali diadakan di Miri pada tahun lepas adalah satu kejayaan besar yang telah menarik lebih 6,000 pengunjung.
“Bagi tahun ini, orang ramai boleh menjangkakan lebih banyak keseronokan daripada penganjuran kali kedua ini yang pastinya lebih menarik dan kami telah menetapkan sasaran untuk menarik kira-kira 7,000 hingga 8,000 pengunjung untuk acara dua hari ini kelak,” katanya pada sidang media STEM Playground Miri 2019 di Hab Inovasi Digital SMA-TEGAS di sini semalam.
Awangku Merali memberitahu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Tek-nologi Dato Sri Michael Manyin Jawong merupakan tetamu kehormat yang akan merasmikan acara itu pada 3 Ogos nanti.
Dengan tema ‘Discover, Create, Innovate’ (Terokai, Cipta, Inovasi), beliau me-negaskan bahawa acara itu bertujuan memupuk minat STEM dalam kalangan pelajar seawal usia lima tahun.
“Objektif acara ini adalah untuk mengukuhkan pendidikan STEM dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) semasa di sekolah rendah, menengah dan tertiari, untuk mengurangkan trend penurunan ke aliran sains di Sarawak, untuk mempro-mosikan pendidikan STEM dan untuk menyediakan sistem sokongan pengajaran yang inovatif dan kreatif di luar bilik darjah.”
Beliau berkata acara itu akan dibahagikan kepada pelbagai zon seperti Zon Kanak-Kanak, Zon Sains Inovatif, Teknologi dan Zon Robotik, Zon Kemanusiaan, Sukan dan Sains serta H2O dan Zon Sains Makanan.
Terdapat lebih daripada 20 pameran interaktif dan mesra keluarga oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), UiTM Sarawak, Pustaka Miri, Kinabalu Coder, Pegawai Pendidikan Daerah Miri, DreamCatcher, Chumbaka, Petrosains, Borneo Robotik Borneo (CR8) dan Plane-tarium Sultan Iskandar.
Selain daripada pameran yang menakjubkan, orang ramai juga boleh menyertai pelbagai STEM Challenge termasuk STEM Challenge Open Category, STEM Challenge Tech Track, STEM Challenge Science Track, Kejohanan IEEE Science and Technology Innovation, Young Innovators Challenge dan Pertandingan Innovate Junior yang pertama.
Terdapat juga pertunjukan sains oleh Petrosains bertajuk ‘Cool Chemistry’, ‘Pressure Show’ dan ‘Combustion Show’ yang memperkenalkan konsep serta asas sains dengan cara yang menarik dan menyeronokkan.
Untuk menjadikan acara lebih bermakna, TEGAS akan menjalankan program Bengkel Mikro bit: Pelatih Jurulatih (TOT).
“Ia adalah program khusus untuk sekolah di mana setiap sekolah akan diwakili guru dan pelajar. Semasa bengkel ini, kami akan mengajar guru dan pelajar bagaimana menggunakan papan pengawal mikro untuk projek inovatif di sekolah mereka.
“Ia juga merupakan program untuk meningkatkan taraf guru dengan penge-tahuan baharu mengenai teknologi,” tambahnya.
Oleh itu, beliau mengalu-alukan orang awam yang terdiri daripada orang tua, pelajar, guru dan belia untuk menghadiri acara yang di-buka dari jam 10 pagi hingga 5 petang dengan kemasukan percuma.