Anda di sini

Malaysia tidak pernah iktiraf sekolah pergigian Taiwan

Advertisement
DR NOOR HISHAM

KUALA LUMPUR: Kelayakan asas pergigian daripada sekolah pergigian di Taiwan tidak pernah diperakui di bawah Akta Pergigian 1971, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham, yang juga presiden Majlis Pergigian Malaysia (MPM), merujuk kepada laporan berita yang menyebut MDC telah menarik balik pengiktirafan tujuh buah sekolah pergigian Taiwan daripada jadual kedua akta tersebut.

“MDC ingin menjelaskan bahawa ini tidak benar kerana kelayakan asas pergigian dari sekolah pergigian Taiwan tidak pernah diiktiraf di bawah Akta Pergigian 1971 dan oleh itu tidak pernah disenaraikan di bawah jadual kedua akta tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, pendaftaran graduan pergigian dengan kelayakan yang tidak diiktiraf termasuk dari institusi pergigian Taiwan mungkin dipertimbangkan di bawah Seksyen 12(3) atau Seksyen 12(9) Akta Pergigian 1971 sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MDC.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini, terdapat 139 graduan dari sekolah pergigian Taiwan yang tidak diiktiraf sudah didaftarkan dengan MDC selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MDC.

Justeru, katanya, kesemua 139 graduan itu dibenarkan mengamalkan profesion mereka di Malaysia. - Bernama

Advertisement