Anda di sini

27 pemimpin PKR sokong Azmin

Advertisement
 

KUCHING: Seramai 27 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil mempertahankan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disaran Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bercuti jika terbukti terlibat daam video intim yang tular baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media bersama hari ini mereka turut menggesa presiden PKR itu agar berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai video yang dikhuatiri boleh memecah-belahkan perpaduan parti.

"Kami ingin menegaskan PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden (Azmin).

"Kami akan bersama YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Mohamed Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini," tegas mereka.

Mereka terdiri daripada empat Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Dr Xavier Jayakumar, Chua Tian Chang Ali Biju, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan Timbalan Setiausaha Agung Datuk Seri Dr Santhara.

Antara barisan MPP lain, Amirudin Shari, Datuk Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid, Mohd Radzlan Jalaludin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamarudin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Lee Kai Loon, Baru Bian, Dr Daroyah, Muhammad Hilman Idham. 
 
Selain itu, empat ahli parlimen (MP) yang turut memberi sokongan Steven Choong, Jonathan Yasin, Willy Mongin dan Maria Chin Abdullah.

"Kami menyeru Presiden untuk segera menggembeling perpaduan anggota demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini," kata mereka.

Mengulas tentang jawapan Anwar menyatakan bahawa Timbalan Presiden itu harus meletakkan jawatan sekiranya kesahihan video seks yang menjadi persoalan dibuktikan adalah tidak berasas.

"Kami tegas berpendirian bahawa kenyataan tersebut tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi semata-mata dan Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan YB Datuk Seri Mohamed Azmin. 

"Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat," jelas mereka.
 
Mereka turut hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, Anwar telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.
 
Justeru berdasarkan penafian tegas Azmin berkaitan hal ini, mereka berkata, Presiden sewajarnya mempertahankan Timbalan Presiden demi memelihara perpaduan PKR dan tidak sama sekali cuba mengganggu kedudukan Timbalan Presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.
 
Malah, mereka memberitahu, Anwar wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi yang mana seluruh kepimpinan dan anggota PKR berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011, ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen. 

"YB Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics’," tegas mereka.

Advertisement