Anda di sini

‘Mimpi Sabrina’ drama terbaru Juliana Evans dalam slot Samarinda TV3

Advertisement
 

SLOT drama Samarinda dan Lestary sememangnya mempunyai pengikutnya sendiri, lebih-lebih lagi jika pelakon kegemaran mereka yang membintanginya.

Bagi anda yang merindui lakonan Che Puan Juliana Evans, drama terbaharu di slot Samarinda yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam iaitu Mimpi Sabrina bakal menampilkan beliau selaku teraju utama.

Bergandingan dengan Juliana dalam drama terbitan Radius One Sdn Bhd arahan Nizam Zakaria yang telah mula ditayangkan sejak 11 Julai lepas itu adalah Erwin Dawson serta Josiah Hogan.

Drama ini turut menampilkan pelakon lain seperti Tasha Shilla, Amy Mastura, Roy Azman, Ako Mustapha, Marisa Yasmin dan Hamidah Wahab.

‘Mimpi Sabrina’ mengisahkan percintaan antara dua darjat iaitu antara Sabrina (Che Puan Juliana Evans) anak seorang hartawan yang memiliki perniagaan perhotelan dengan Fahrin (Erwin Dawson), adik kepada pembantu rumah yang bekerja di villa milik keluarga Sabrina.

Namun begitu disebabkan kekuatan cinta yang kukuh hubungan mereka tetap terjalin sehinggalah akhirnya berkubur begitu sahaja apabila Fahrin dipenjara atas kesalahan yang dia tidak lakukan.

Sejak itu mereka dipisahkan. Fahrin dipenjarakan atas tuduhan cubaan merompak, manakala Sabrina pula dinikahkan dengan Ridhuan (Josiah Hogan) sepupunya sendiri demi menyelamatkan perniagaan ayahnya yang sedang mengalami masalah. Setelah tujuh tahun berlalu, cinta yang berkubur itu bertaut semula apabila Fahrin dan Sabrina bertemu semula tanpa sengaja dalam suasana yang cukup berbeza.

Sabrina sebagai jurugambar yang terkenal, manakala Fahrin pula muncul sebagai usahawan berjaya namun kekayaannya menjadi misteri.

Ridhuan yang kecewa dengan Sabrina kerana tidak memberikan cinta kepadanya, kembali kepada bekas kekasihnya Farah (Tasha Shilla), yang juga seorang model terkenal.

Kerana kecewa dan terasa dikhianati, Ridhuan menjadi seorang yang tidak amanah sehingga menyebabkan syarikat mereka menghadapi masalah kewangan yang serius.

Fahrin pula sengaja mengaburi mata Ridhuan dengan menawarkan bantuan kewangan. Fahrin mengambil kesempatan kerana dia ingin memancing kembali perhatian Sabrina semula.

Adakah Sabrina akan kembali menjalin kasih bersama Fahrin dan terus melupakan Ridhuan? Untuk mengetahui apakah kesudahan drama ini, jangan lupa untuk mengikutinya setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3.

Advertisement