Anda di sini

3,000 peserta bakal bersaing

Advertisement
 (Duduk dari kanan) Lee, Abdul Karim, Snowdan dan Hii menunjukkan poster variasi cabaran yang akan dilalui peserta Spartan Race Malaysia 2019 pada sidang media di Kuching semalam. — Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
AYUH SERTAI: (Duduk dari kanan) Lee, Abdul Karim, Snowdan dan Hii menunjukkan poster variasi cabaran yang akan dilalui peserta Spartan Race Malaysia 2019 pada sidang media di Kuching semalam. — Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Peminat larian berkonsepkan ekstrem berpeluang menguji ketahanan diri dengan menyertai Spartan Race Sarawak 2019.

Julung kali dianjurkan di Borneo, larian ketahanan diri terulung di dunia itu akan berlangsung selama dua hari pada 19 dan 20 Oktober depan bertempat di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Kecergasan Kuching dengan kerjasama Spartan Race Malaysia dan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penganjur menjangkakan seramai 3,000 peserta mengambil bahagian.

Menurutnya, larian tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan di mana setakat ini seramai 1,500 peserta dari Singapura, Jepun, Australia dan beberapa negara luar telah mendaftar menyertainya.

“Larian ini akan melibatkan beberapa tempat iaitu Rajah Charles Brooke Memorial, Pusat Bodiversity Sarawak dan Taman Hidupan Liar Semenggok. Pelepasan larian bermula di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, Batu 12,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Abdul Karim berkata, apa yang menjadikan tarikan larian tersebut ialah pelbagai bentuk cabaran yang akan dihadapi setiap peserta dalam empat kategori dipertandingkan iaitu Sprint (5km), Beast (21km), Ultra (42km) dan Hurricane Heat (12 jam).

“Setiap peserta akan melalui pelbagai halangan dan cabaran dalam setiap kategori seperti merangkak di bawah dawai berduri, mengangkat batu dan sebagainya. Ia menjadikan larian ini sangat menarik dan saya pasti ramai akan menyertainya,” kata beliau.

Abdul Karim percaya larian tersebut boleh menjadi satu lagi produk pelancongan negeri yang mampu melonjakkan industri terbabit dan membawa pulangan kepada pemain-pemain industri itu di sini.

Sementara itu, Pengarah Larian, David Tully berkata pihaknya merancang untuk menjadikan Sarawak sebagai hub acara larian ketahanan diri terbesar di Borneo.

Katanya, Sarawak sangat sesuai dijadikan venue acara larian itu kerana kaya dengan alam semula jadi selain mempunyai bentuk muka bumi mencabar.

Peserta yang berjaya menamatkan larian akan mendapat medal dan baju T.

Mereka yang berminat turut serta boleh mendaftar sekarang di www.spartanrace.my.

Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee.

  • oleh
  • Advertisement