Anda di sini

Saringan Hepatitis secara besar-besaran dan percuma

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan menganjurkan secara besar-besaran saringan ‘pemeriksaan-dan-rawat’ bagi semua rakyat Malaysia untuk Hepatitis C secara percuma.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, akan terdapat lebih 100 tempat saringan di hospital dan pusat penjagaan kesihatan yang utama di seluruh Malaysia, mulai semalam hingga 21 Julai.

“Kami berharap kempen ini akan membantu rakyat peluang ‘pemeriksaan-dan-rawatan’ kerana terdapat kira-kira 400,000 orang terjejas oleh penyakit itu di Malaysia.

“Kami juga mahu semua rakyat Malaysia memahami risiko Hepatitis C, dan kami dapat mengatasi masalah penyakit ini, yang membebankan negara di samping mengelakkan berlakunya kes baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kempen berkenaan juga adalah sebahagian daripada persediaan Hari Hepatitis Sedunia, yang akan disambut di seluruh dunia pada 28 Julai.

“Rakan kami dalam kempen ini, inisiatif Drug Untuk Penyakit Terabai (DNDi) dan Yayasan Inovatif Dianogtik Baru (FIND) akan memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk menjalani pemeriksaan dan dirawat untuk penyakit ini secara percuma.

“Inisiatif ini adalah acara saringan terbesar pernah diadakan oleh kerajaan dan akan memainkan peranan signifikan dalam pembasmian Hepatitis C menjelang 2030. Kempen ini juga akan membantu menyokong dan meningkatkan aktiviti penambahbaikan saringan Hepatitis C di negara ini,” katanya.

Antara hospital yang mengambil bahagian dalam kempen selama tujuh hari itu ialah Hospital Tuanku Fauziah (Perlis), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Sungai Bakap (Pulau Pinang), Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Kuala Lipis (Pahang) dan Hospital Umum Sarawak.

Ia akan merangkumi Klinik Kesihatan (KK) Pendang (Kedah), KK Ampang, KK Seri Kembangan, KK Parit Raja (Johor) dan KK Pangkalan Chepa (Kelantan).

“Agar kita dapat menghapuskan Hepatitis C, orang ramai digesa hadir di tempat-tempat saringan khas ini untuk diperiksa dan dirawat bagi penyakit yang membabitkan darah,” katanya. — Bernama

Advertisement