Anda di sini

Polis siasat kes buli pelajar di Miri

Advertisement
 


MIRI: Polis sedang menyiasat lima remaja termasuk seorang pelajar sekolah menengah yang dipercayai terlibat dalam kes buli membabitkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, 8 Julai lalu.

Siasatan dilakukan selepas bapa mangsa, membuat laporan polis pada Isnin yang mendakwa anaknya dipukul oleh lima remaja di sekolah menengah di sini.

Video kejadian buli berkenaan tular dalam media sosial sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah yang mengesahkan kejadian, berkata mangsa dipercayai ditumbuk dan ditendang sekumpulan lima remaja termasuk seorang pelajar sekolah menengah di sini pada 8 Julai lalu.

"Bapa mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh anaknya berhubung video tular dalam WhatsApps yang menyaksikan mangsa sedang dibuli.

"Mangsa takut membuat laporan kerana telah diugut oleh suspek-suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan susulan.

Polis sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • oleh
  • Advertisement