Anda di sini

Perkasa pembangunan bola sepak antara isu utama AGM SAFA bulan depan

Advertisement
PETER (tengah di depan) semasa sidang media selepas EGM SAFA di bilik mesyuarat Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Kota Kinabalu pada Selasa.
PETER (tengah di depan) semasa sidang media selepas EGM SAFA di bilik mesyuarat Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU: Memperkasakan pembangunan bola sepak negeri ini secara menyeluruh antara isu penting yang akan diketengahkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) 16 Ogos depan.

Pemangku Presiden SAFA Datuk Peter Anthony berkata, pembangunan itu termasuklah pentadbiran dan pengurusan di peringkat pusat dan daerah-daerah gabungan.

"Kita mahu semua memainkan peranan aktif...ini bagi memastikan pembangunan bola sepak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa SAFA di sini, Selasa.

Menurutnya, pertandingan bola sepak juga akan dianjurkan di peringkat daerah mulai tahun depan.

"Dana dari MFL yang belum kita terima tahun ini..apabila diterima nanti kita akan salurkan kepada anggota gabungan bagi membantu mereka menguruskan pembangunan bola sepak di daerah masing-masing," katanya.

Sambil itu, AGM nanti juga akan membincangkan mengenai pindaan 10 perlembagaan persatuan dan mengisi serta mengesahkan beberapa jawatankuasa tertinggi yang kosong ekoran perletakan jawatan penyandangnya.

Antara jawatan tertinggi yang sudah diisi tetapi perlu disahkan dalam AGM ialah jawatan Presiden, Timbalan Presiden 1 dan Naib Presiden manakala beberapa kekosongan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) mungkin akan melibatkan pertandingan.

Mengenai ganjaran atas kejayaan Skuad Tambadau menjulang gelaran juara Liga Premier musim ini, Peter berkata, ia akan dimumkan selepas saingan Liga Premier musim ini selesai.

"Kita akan menutup tirai saingan Liga Premier menentang Terengganu II di tempat lawan Sabtu ini. Selepas itu pemain akan diberi rehat sebelum kita sambung cabaran dalam saingan Piala Malaysia pada awal Ogos.

"Kita akan mengadakan majlis kesyukuran. Ganjaran akan diumumkan semasa (majlis kesyukuran) itu. Ganjaran itu sudah ada...tunggulah ia diumumkan nanti," katanya.

  • oleh
  • Advertisement