Anda di sini

Dr Charlie Dudang marakkan semangat calon PT3 dan SPM SMK Katibas

Advertisement

Sumbangan Dr Charlie Dudang

 Jackson Abong Abit menyampaikan cenderamata kepada Dr Charlie.
IKHLAS: Jackson Abong Abit menyampaikan cenderamata kepada Dr Charlie.

UNIT Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas di Song telah mengadakan ceramah motivasi untuk para pelajar yang bakal menduduki ujian PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada September dan penghujung tahun ini di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Ceramah motivasi di bawah bimbingan Chambai Merudang dan beberapa ahli jawatankuasa ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi dalam diri pelajar agar mereka terus berusaha mencapai kejayaan, meningkatkan kesedaran untuk memaksimumkan peluang dan potensi yang ada dalam diri untuk kerjaya dan menyemai sikap positif dalam diri untuk berusaha dan berjaya.

Bagi penyampaian ceramah yang lebih berkesan, pihak sekolah telah menjemput penceramah motivasi yang tidak asing lagi, iaitu Dr Charlie Dudang yang didatangkan khas dari Kuching.

Charlie yang mempunyai rekod memberi ceramah motivasi lebih daripada 300 kali kepada sekolah rendah dan menengah mahupun di bandar dan pedalaman, kolej atau universiti, agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun 2005 lagi, tidak mempunyai masalah mengendalikan audien beliau.

 Dr Charlie sedang menyampaikan ceramah kepada pelajar sasaran.
BERKONGSI IDEA: Dr Charlie sedang menyampaikan ceramah kepada pelajar sasaran.
 Dr Charlie bergambar bersama tenaga pengajar selepas menandatangani buku pelawat.
BUKU KENANGAN: Dr Charlie bergambar bersama tenaga pengajar selepas menandatangani buku pelawat.

Beliau menggunakan segala pengalaman memukau para pelajar dan memberi suntikan motivasi dan impak yang mendalam dengan kisah hidup beliau sejak dari kecil tanpa sokongan ibu dan ayah, sebaliknya hanya dibiayai oleh datuk dan nenek yang telah tua ketika itu.

Beliau menceritakan segala pahit manis yang dialami sewaktu bekerja sebagai seorang kerani di sebuah bank tempatan yang terbesar. Oleh keputusan SPM beliau tidak memuaskan, beliau sering dicemuh pihak atasan dan peluang naik pangkat juga tertutup

Bagi Charlie, tiada cara lain untuk keluar daripada kepompongan kemiskinan, melainkan hanya melalui pendidikan. Menyedari beliau memerlukan wang untuk membiayai pendidikan, Charlie sanggup menjadi penjaja pada hujung minggu untuk menambah sumber pendapatan.

Dengan usaha gigih, dedikasi dan jati diri yang kuat Charlie berjaya mencapai cita-cita bukan sahaja dalam kerjaya malahan mencapai kepuasan dalam hidup.

Charlie menekankan, kemiskinan atau kedaifan bukan halangan untuk berjaya dalam pendidikan. Untuk mencapai cita-cita, pelajar harus mempunyai perancangan seperti kata-kata Benjamin Franklin yang berbunyi: “Kalau kita gagal untuk merancang, bererti kita merancang untuk gagal”.

Justeru, beliau menasihatkan pelajar agar menyediakan jadual waktu untuk membuat kerja rumah, ulang kaji dan bermain.

Selain itu, pelajar PT3 dan SPM harus tahu arah tujuan mereka selepas PT3 dan SPM nanti. Bagi mereka yang kurang beminat belajar dalam aliran akademik boleh mengambil Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) yang akan memenuhi keperluan pekerjaan pada era Revolusi Industri 4.0.

 Dr Charlie sedang berinteraksi dengan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan hujung tahun ini.
POSITIF: Dr Charlie sedang berinteraksi dengan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan hujung tahun ini.

Di samping itu, Charlie turut menekankan disiplin tinggi dalam kalangan pelajar dengan menghormati guru, patuh kepada peraturan sekolah, mengelak ponteng, menjauhi gejala sosial seperti minum minuman keras, merokok, menyalah guna media sosial dan sebagainya.

Charlie juga mengingatkan ibu bapa agar mengambil berat tentang pendidikan anak-anak mereka dan tidak meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak sepenuhnya di bahu para guru.

Ibu bapa juga dinasihatkan agar menjauhi gejala sosial seperti minum minuman keras, merokok dan main judi yang juga dikenali sebagai 3M.

Menurut Charlie, jika ibu bapa boleh mengelakkan gejala 3M, mereka akan ada wang untuk menabung bagi persekolahan anak-anak.

Advertisement