Anda di sini

Bekas atlet negeri dijemput sertai Terbuka Masters Sabah

Advertisement
DAVID WILLIAM.
DAVID WILLIAM.

KOTA KINABALU: Persatuan Olahraga Masters Sabah (SAMAS) mengalu-alukan bekas atlet menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka  Masters Sabah (SAMOC) di Stadium LIkas pada 7-8 September depan.

Presiden SAMAS, David William berkata, kehadiran ramai atlet yang pernah mewakili negeri dan masih aktif akan menjadikan kejohanan itu lebih berprestij.

Sabah telah melahirkan ramai atlet pada masa lalu dan mereka masih aktif menyertai pertandingan di seluruh negara.

"Oleh itu kami ingin menjemput bekas atlet negeri atau kebangsaan seperti Ramjit Nairulal, Sidik Sahak, Gabriel Moinjil, Sugang Tumiran, Shamsul Osman dan yang lain-lain," kata David dalam kenyataan medianya pada Selasa.  

Katanya, kejohanan itu sudah memasuki edisi kesembilan dan terbuka kepada peserta berusia 35 tahun ke atas.

"Kami menjangkakan kira-kira 600 penyertaan dari dalam dan luar negara. Empat negara luar telah menunjukkan minat mengambil bahagian iaitu Singapura, Brunei, Indonesia dan Hongkong," katanya.

Edisi kelapan tahun lalu menyaksikan penyertaan 587 atlet dari 19 pasukan.

David berkata, kejohanan itu akan menggunapakai alat masa elektronik bagi menarik penyertaan antarabangsa di mana catatan masa akan diiktiraf dan untuk tujuan penetapan ranking.

"Atas permintaan ramai, acara lompat bergalah bagi kategori 40-70 tahun lelaki akan diperkenalkan dalam kejohanan kali ini.

"Sabah memiliki ramai atlet berpotensi dalam acara ini dan ketika ini ada di antara mereka berlatih di bawah Aliudin Jumaat sebagai persiapan menghadapi kejohanan Olahraga Masters Asia," katanya.

Beliau berkata, acara popular iaitu 4x100m jemputan junior 20 tahun ke bawah, 20-29 tahun dan 30-34 tahun yang biasanya menarik penyertaan kira-kira pasukan setiap tahun.

"Kami juga akan menyediakan hadiah trofi untuk juara keseluruhan berdasarkan kutipan pingat," katanya.

Sambil itu, peserta dikenakan yuran pendaftaran RM40 bagi acara pertama yang disertai tetapi akan dibekalkan sepasang baju kejohanan. Yuran penyertaan bagi acara kedua dan seterusnya  adalah RM10 setiap satu tetapi seorang hanya dibenarkan menyertai maksimum empat acara individu.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 Ogos.

Kejohanan selama dua hari itu adalah anjuran SAMAS dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah, Mjlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS).

  • oleh
  • Advertisement