Anda di sini

SK Nanga Tada, SMK SEDAYA juara Kejohanan Pembangunan Olahraga MSSD Kanowit

Advertisement

Sumbangan PPD Kanowit

 Ketua Unit, UPPK Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kanowit Willy Johnson (kiri) menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
KENANGAN: Ketua Unit, UPPK Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kanowit Willy Johnson (kiri) menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Nanga Tada dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SEDAYA masing-masing mengungguli Kejohanan Pembangunan Olahraga MSSD Kanowit yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Kanowit, 27 Jun lalu.

SK Nanga Tada unggul bagi kategori sekolah rendah apabila berjaya mengutip 158 mata sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan daripada 35 pasukan yang bertanding.

SK Nanga Pedai menduduki tempat kedua dengan 133.5 mata dan SK Nanga Ngungun di tempat ketiga dengan 121.3 mata, manakala SK St Francis Xavier berada di tempat keempat dengan pungutan 99 mata.

Bagi kategori sekolah menengah pula SMK SEDAYA berjaya bergelar juara daripada tiga sekolah yang bertanding dengan pungutan 823 mata. Sementara SMK Kanowit berada di tempat kedua dengan pungutan 685 mata diikuti SMK Nanga Dap dengan jumlah mata 294.5.

Kejohanan Pembangunan Olahraga MSSD Kanowit 2019 yang telah dikelolakan oleh sekolah-sekolah dari Zon 3 di daerah Kanowit  berlangsung dengan jayanya atas usaha dan kerjasama yang erat daripada guru-guru dan kakitangan sokongan.

 

Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Kanowit, Bugin Ragoon dalam ucapan perasmian penutupan kejohanan menyatakan rasa terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan kali ini.

Menurut beliau lagi, aktivti pembangunan sukan seperti ini amat penting bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seiring dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

Berdasarkan pemerhatian beliau, daerah Kanowit sememangnya mempunyai ramai bakat dalam bidang sukan yang boleh dicungkil untuk pergi lebih jauh mewakili Sarawak seterusnya mewakili Malaysia dalam bidang olahraga.

Hal ini terbukti dengan lahirnya ramai atlet dari daerah Kanowit yang telah mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Secara keseluruhannya, penganjuran Kejohanan Pembangunan Olahraga MSSD Kanowit 2019 berjaya mencungkil ramai atlet untuk mewakili Daerah Kanowit pada kejohanan peringkat bahagian Sibu September nanti.

 
 
Advertisement