Anda di sini

Sektor perkhidmatan terajui ekonomi N. Sembilan: Aminuddin

Advertisement
 Aminuddin (dua kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Cipta Success Marketing Yaakop Mohd Isa (kiri) mengenai hasil produk syarikatnya pada Majlis Perasmian Karnival Pekerjaan dan TVET Negeri Sembilan di Palm Mall, semalam. — Gambar Bernama
TELITI PRODUK: Aminuddin (dua kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Cipta Success Marketing Yaakop Mohd Isa (kiri) mengenai hasil produk syarikatnya pada Majlis Perasmian Karnival Pekerjaan dan TVET Negeri Sembilan di Palm Mall, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Struktur ekonomi Negeri Sembilan diterajui oleh sektor perkhidmatan iaitu sebanyak 44.3 peratus diikuti sektor pembuatan pada 39.7 peratus, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata sektor pembuatan merupakan sektor utama bagi penggajian pekerja dengan 16.58 peratus dan diikuti sektor perdagangan borong runcit iaitu sebanyak 15.09 peratus.

“Ekonomi Negeri Sembilan berada dalam guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran pada 3.0 peratus setakat ini.

“Bilangan penduduk bekerja juga meningkat kepada 476,800 orang pada 2017 kepada 488,600 orang pada 2018. Kadar penyertaan tenaga buruh juga meningkat daripada 64.8 peratus pada 2017 kepada 65.8 peratus pada 2018 dan pemberhentian pekerja juga adalah terkawal,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Pekerjaan dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negeri Sembilan 2019 di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Paeza Rosdi.

Aminuddin berkata pada 2018, jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan sahaja melebihi RM2.4 bilion dan menawarkan lebih 3,000 pekerjaan baharu.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dengan menarik pelaburan dari dalam dan luar negara malah pelaburan baharu yang diluluskan telah melepasi sasaran tahunan RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata bagi meningkatkan pelaburan dan peluang pekerjaan di negeri ini, beberapa inisiatif telah dilaksanakan antaranya memperkenalkan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 meliputi Seremban, Nilai dan Port Dickson selain aktiviti promosi seperti perjumpaan bersama bakal pelabur.

Selain itu, turut dilaksanakan ialah memperkenalkan NS Aerospace, mengadakan lawatan kerja bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan sesi dialog bersama pihak industri.

“Inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dijangka dapat menarik jumlah pelaburan sebanyak RM3 bilion pada tahun ini dengan pelaburan utama daripada sektor makanan dan minuman, elektrik, elektronik serta automotif,” katanya.

Menteri Besar berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan lebih ramai pekerja berkemahiran selaras dengan nilai pelaburan masuk ke Negeri Sembilan.

“Pekerja berkemahiran merupakan aset kepada industri. Oleh yang demikian, rakyat tempatan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan industri di Negeri Sembilan. Kerajaan negeri melalui institusi TVET sentiasa menyediakan pelbagai peluang latihan kepada rakyat,” katanya. — Bernama

Advertisement