Anda di sini

PMR hab maklumat masyarakat di setiap Pejabat Penerangan Daerah

 Norliza (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar pada pertandingan kaligrafi pada Program Pengimarahan PMR Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sarikei di SMK Tinggi Sarikei, semalam.
TAHNIAH: Norliza (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar pada pertandingan kaligrafi pada Program Pengimarahan PMR Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sarikei di SMK Tinggi Sarikei, semalam.

SARIKEI: Portal Pusat Maklumat Rakyat (PMR) berperanan sebagai hab maklumat untuk masyarakat di setiap Pejabat Penerangan Daerah.

Pegawai Penerangan Bahagian Sarikei Norliza Isahak berkata, pangkalan data itu mengandungi pelbagai maklumat merangkumi semua bidang dan dikemas kini mengikut keperluan dan perubahan semasa.

“Objektif utama penubuhan PMR adalah untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehcapaian maklumat berkaitan jabatan dan agensi kerajaan secara lebih meluas kepada masyarakat.

“Ia juga berperanan meningkatkan penglibatan jabatan dengan lebih bertanggungjawab kepada masyarakat setempat dalam konteks penyebaran maklumat yang memenuhi keperluan mereka.

“Program ini turut menyokong penyebaran maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan di peringkat lapangan,” ujarnya.

Norliza berkata demikian pada Program Pengimarahan PMR Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sarikei di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei, semalam.

Program yang berlangsung di Bilik Perpustakaan SMK Tinggi Sarikei disertai para guru dan pelajar sekolah terbabit.

Melalui program ini juga kata Norliza, ia membantu meningkatkan sistem penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Sehubungan itu katanya, Pegawai Penerangan yang hanya berperanan memberikan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan sebelum ini akan mempunyai tugas tambahan iaitu memberikan maklumat berkaitan fungsi dan peranan serta perkhidmatan jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain kepada masyarakat.

“PMR akan menjadi ’focal point’ maklumat kepada masyarakat dan bank data maklumat, pusat rujukan oleh orang awam, agensi-agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan negara,” jelasnya.

Pada majlis itu, turut diadakan pertandingan kaligrafi yang dimenangi Hoh Fong En, kedua Bosco Wang Yuk Lie dan ketiga Bryan Wang Yuk Kwan.

Turut hadir Pengetua SMK Tinggi Sarikei Ting Sing Teck dan warga pendidik lain.