Anda di sini

Norati berniaga Kangen untuk kongsi kebaikan air minuman alkali berion

Advertisement
 Norati bersama suami dan tiga orang yang menjadi sumber ilhamnya untuk meletakkan nama AFC sebagai nama syarikat perniagaan air minuman beralkali jenama Kangen miliknya.
PERNIAGAAN KELUARGA: Norati bersama suami dan tiga orang yang menjadi sumber ilhamnya untuk meletakkan nama AFC sebagai nama syarikat perniagaan air minuman beralkali jenama Kangen miliknya.
 Norati ketika ditemui di pejabatnya di Pasar Lutong di Miri.
KONGSI KEBAIKAN: Norati ketika ditemui di pejabatnya di Pasar Lutong di Miri.
 AFC juga menaja beberapa aktiviti sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat setempat.
KERJA AMAL: AFC juga menaja beberapa aktiviti sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat setempat.

MENCEBURKAN diri dalam bidang perniagaan bukan lagi merupakan perkara asing bagi masyarakat kita kerana skop perniagaan kini semakin luas.

Perniagaan merangkumi urusan jual beli sama ada dilakukan di kedai fizikal mahupun secara dalam talian.

Manakala jenis perniagaan yang diusahakan juga pelbagai dari produk makanan, minuman, pakaian, kesihatan, kecantikan dan sebagainya.

Dalam kebanyakan cabang perniagaan yang ada, jarang sekali kita mendengar mereka yang ingin mengusahakan perniagaan menjual air minuman alkali berion.

Namun inilah perniagaan yang menjadi pilihan, Norati Mahadi yang mengusahakan sebuah syarikat pengeluar air minuman alkali berion jenama Kangen di bawah label Ahmad Food Channel (AFC).

Menurut beliau, keinginan mengusahakan perniagaan ini lebih terdorong kepada rasa tanggungjawab untuk berkongsi tentang kebaikan amalan minum air beralkali setiap hari untuk tujuan kesihatan.

Katanya, inspirasi ini timbul setelah beliau sendiri merasai kebaikan air beralkali sehingga mampu menyembuhkan penyakit yang dihidapinya sebelum ini.

Menceritakan kembali pengalamannya, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata pada tahun 2014, beliau dan suami telah pergi ke Mekah bagi mengerjakan umrah sambil berdoa agar disembuhkan daripada penyakit yang dihidapnya ketika itu.

“Setiba di sana, kami telah berjumpa seorang sahabat yang baharu dikenali dan bertanya apakah tujuan kami pergi umrah.

“Saya dan suami lalu memberitahunya tujuan sebenar dan lelaki terbabit yang berasal dari Semenanjung Malaysia mencadangkan supaya saya minum air zamzam (air beralkali) dan selepas itu, saya berasa lebih cergas dan sihat,” ujar beliau yang juga seorang bekas guru di sebuah sekolah menengah di Miri.

Sekembali ke sini katanya, beliau dan suami lalu membeli sebuah mesin yang boleh mengeluarkan air beralkali jenama Kangen dan semenjak itu mengamalkan minum air beralkali setiap hari.

Antara ciri-ciri air beralkali katanya, ia terasa lebih ringan, bersih dan segar selain dapat meneutralkan kandungan asid di dalam badan.

Setelah menyedari kebaikan air beralkali untuk kesihatan hingga mampu menyembuhkan penyakit yang dihidapinya, terlintas di fikirannya untuk berkongsi tentang kebaikan tersebut dengan orang ramai hingga wujudnya syarikat AFC pada 2017 yang mengeluarkan air minuman beralkali jenama Kangen.

Manakala pemilihan AFC untuk nama perusahaannya, beliau menjelaskan ia sempena pangkal nama suami dan tiga orang anak lelakinya yang bermula dari Ahmad iaitu Ahmad Zaidi Adenan (suami), Ahmad At-Tarmidzie, Ahmad Al-Bukhari dan Ahmad Al-Fakhruradzie.

“Mesin ini sangat mahal dan tidak ramai yang mampu memilikinya di rumah dan atas dasar tanggungjawab kepada masyarakat, maka terlintas di fikiran saya untuk menubuhkan sebuah syarikat yang mengeluarkan air minuman beralkali dengan harga murah,” katanya yang merupakan satu-satunya pengeluar air minuman alkali berion di Sarawak setakat ini.

Menurut Norati, AFC ditubuhkan pada 2017 setelah melalui pelbagai proses dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dianugerahkan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Katanya, kilangnya di Miri dilengkapi dengan dua buah mesin Kangen namun telah diubah suai dan diselenggara oleh pihak KKM mengikut kesesuaian sumber air di negara kita.

Mesin-mesin di kilangnya di Miri akan diselenggara dalam tiga tempoh berkala iaitu sebulan, enam bulan dan setahun untuk memastikan kualiti airnya tetap terjamin dan sama dengan kualiti air yang dikeluarkan oleh mesin Kangen yang asli.

Katanya, bagi pemantauan setiap bulan, ia akan dilakukan oleh mereka sendiri menggunakan alat khas yang disediakan oleh KKM dan hasil pemeriksaan akan dihantar ke pejabat KKM; bagi pemantauan enam bulan ia dilakukan oleh pihak makmal swasta yang dilantik oleh KKM dan hasil pemeriksaan juga akan dihantar ke KKM.

Bagi pemantauan untuk tempoh setahun, ia akan dilakukan sendiri oleh pihak KKM dan Jabatan Nuklear Malaysia untuk memastikan kualiti air beralkali yang dikeluarkan syarikat AFC benar-benar menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh kementerian terbabit.

“Oleh itu, apabila produk kami dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan, kami menjamin kualiti air kami berada pada kedudukan tertinggi, terawat dengan baik dan selamat untuk semua orang,” katanya yang turut dibantu oleh suami dan anak-anak serta beberapa pekerja dalam menjalankan perniagaan harian.

Ditanya apakah cabarannya dalam mengusahakan perniagaan air beralkali, Norati berkata cabaran utama ialah kesukaran mendidik orang ramai tentang kebaikan minum air minuman alkali berion kerana masih ramai beranggapan tiada beza antara air minuman biasa yang diproses melalui kaedah osmosis terbalik (RO) dengan air beralkali.

Lagipun mereka berpendapat, harga air minuman biasa atau air mineral yang ada di pasaran sekarang jauh lebih murah berbanding air beralkali.

“Hanya mereka yang mementingkan kesihatan sahaja yang banyak membeli air Kangen setakat ini dan harga yang kami tawarkan juga amat murah iaitu hanya RM1.50 untuk botol kecil 500 mililiter (ml) dan RM3.00 untuk 1,500ml.

“Setakat ini, dengan kapasiti dua mesin yang dimiliki, kami mampu mengeluarkan 100 hingga 150 kotak air Kangen (500ml dan 1500ml) setiap hari untuk dibekalkan kepada penduduk di sekitar Miri,” jelas beliau lanjut.

Selain itu menurut Norati, AFC turut menyediakan perkhidmatan penghantaran air minuman beralkali Kangen ke pejabat, kedai-kedai runcit dan juga rumah.

Sebelum ini, AFC turut membekalkan air Kangen ke beberapa bahagian di negeri ini namun terpaksa dihentikan seketika berikutan beberapa faktor.

Justeru, Norati berharap selepas ini akan lebih ramai penduduk di bandar raya Miri memilih untuk minum air beralkali kerana ia sangat baik untuk kesihatan kerana ia mampu mengimbangi pH badan yang cenderung berasid kerana diet makanan asid tinggi serta faktor lain termasuk stres dan pendedahan kepada toksin alam sekitar.

Menurut beliau, AFC memang merancang untuk melebarkan sayap perniagaan mereka ke beberapa bahagian di negeri ini sebagai usaha mempromosikan amalan hidup sihat dengan minum air beralkali untuk tujuan kesihatan.

Justeru beliau amat mengalu-alukan mana-mana pihak atau usahawan yang ingin menjadi pengedar air minuman beralkali Kangen menggunakan harga yang telah ditetapkan mereka kerana AFC tidak mahu lari daripada tujuan asalnya iaitu menyediakan air minuman sihat dengan kadar harga yang berpatutan.

  • oleh
  • Advertisement