Anda di sini

Tambahan 3 bulan untuk pemandu e-hailing mematuhi syarat operasi

Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan tiga bulan kepada semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan terma-suk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan bersetuju agar penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing dilaksanakan melalui pendekatan ‘soft landing’.

“Untuk tempoh tiga bulan mulai hari ini (semalam), mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen PSV atau memandu kenderaan yang tidak memenuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan terlibat,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Loke turut mengingatkan 31 Syarikat Perniagaan Peng-antaraan (EHO) untuk kadar komisen yang dikenakan kepada pemandu e-hailing adalah maksimum 20 peratus dan pemandu teksi yang beroperasi melalui aplikasi e-hailing pada kadar maksimum 10 peratus.

“Saya tahu ada syarikat EHO guna pelbagai helah dengan menggunakan nama lain. Ada yang dipanggil lima peratus fi. Ini tidak dibenarkan sama sekali. Kalau mereka mengenakan komisen tambahan, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat EHO berkenaan,” katanya.

Loke berkata penguatkuasaan peraturan dan pelesenan perkhidmatan pengendali ke atas EHO akan dilakukan sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ditanya faktor keputusan kerajaan memberi tempoh tambahan tiga bulan, beliau berkata ia berikutan ramai pemandu e-hailing sedang menjalani proses mendapatkan PSV dan Permit Kenderaan E-hailing (eVP) dan tidak mahu ada gangguan perkhidmatan kepada penumpang.

Ditanya adakah tiga bulan mencukupi untuk pemandu e-hailing melengkapkan semua peraturan yang ditetapkan, Loke berkata: “Kalau tanya mereka, tiga tahun pun tidak cukup, lebih baik jangan ada peraturan”.

Menurutnya, jumlah calon yang telah lulus ujian PSV adalah sebanyak 22,981 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 19,891 calon lulus ujian PSV menerusi institut memandu di seluruh Malaysia manakala 3,090 orang lulus kursus yang dijalankan oleh EHO sendiri, katanya.

Menurutnya, sebanyak 17,596 eVP iaitu 4,216 eVP teksi dan 13,380 eVP kenderaan persendirian telah dikeluarkan.

“Kerajaan berharap semua EHO dan pemandu e-hailing mengambil perhatian serius untuk mematuhi semua peraturan e-hailing serta tidak melengahkan proses ini,” katanya.

Loke berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid supaya penguatkuasaan dijalankan secara berhemah dan memberi peringatan dalam tempoh tiga bulan ini. — Bernama

Advertisement