Anda di sini

Tambadau julang Piala Liga Premier di Stadium Likas malam ini

Advertisement
DATUK Peter Anthony
DATUK Peter Anthony

KOTA KINABALU: Peminat bola sepak di Stadium Likas malam ini bukan hanya disajikan aksi Tambadau Sabah menentang Kelantan untuk saingan Liga Premier tetapi akan menjadi saksi Piala Juara Liga Premier diserahkan kepada Sabah selaku juara musim ini.

Sehubungan dengan itu, pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony mengalu-alukan orang ramai terutamanya peminat bola sepak negeri ini datang memberikan sokongan sambil turut bersama-sama dalam majlis bersejarah itu.

TYT Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal juga akan bersama-sama menyaksikan perlawanan seterusnya menyempurnakan Majlis Penyerahan Piala Juara Liga Premier kepada skuad Tambadau Sabah.

"Ianya sejarah yang membuka lembaran baru Sabah dalam kancah bola sepak negara, menamatkan penantian 23 tahun selepas kali pertama merangkul gelaran juara Liga Perdana pada 1996.

Piala Liga Premier yang akan diserahkan kepada Tambadau Sabah malam ini.
Piala Liga Premier yang akan diserahkan kepada Tambadau Sabah malam ini.

"Tambadau Sabah juga akan kembali ke saingan utama bola sepak negara iaitu di Liga Super musim depan (2020)," kata Peter dalam kenyataannya pada Jumaat.

Beliau berkata, pencapaian musim ini amat membanggakan di mana mereka bukan sahaja mengotakan sasaran naik ke Liga Super selaku juara tetapi mencapainya lebih awal dari jadual.

Tempat ke Liga Super sudah disahkan selepas menumpaskan JDT II 1-0 di Stadium Pasir Gudang 5 Julai lalu ketika ia masih berbaki tiga perlawanan.

Tambadau Sabah kemudiannya mengesahkan gelaran juara Liga Premier 2019 menjadi mutlaknya selepas mengutip mata ke-40 dengan menumbangkan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada 9 Julai ketika ia masih ada dua baki perlawanan.

Dua baki perlawanan itu termasuk menentang Kelantan di Stadium Likas malam ini dan Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 20 Julai.

"Untuk perlawanan menentang Kelantan, saya mahu pasukan terus memberikan persembahan terbaik dan memenanginya.

"Sudah bergelar juara dan telah sahkan tempat ke Liga Super bukan alasan untuk ambil mudah perlawanan ini, sebaliknya ia perlu dijadikan medan bagi membuktikan kemampuan sebagai pasukan juara.

"Ini juga adalah perlawanan terakhir kita sebagai tuan rumah saingan liga musim ini. Oleh itu, kemenangan adalah hadiah terbaik untuk semua peminat bola sepak," kata Peter.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, dua baki perlawanan itu juga akan dijadikan sebagai pemanas badan terbaik sebelum mengharungi cabaran lebih getir iaitu Piala Malaysia yang dijadualkan bermula awal Ogos.

Sambil itu, ketua jurulatih Jelius Ating dijangka akan menurunkan kesebelasan terbaik biasanya.

Hanya pertahanan import dari Korea Selatan Park Tae Su yang belum dapat disenaraikan kerana masih menjalani penggantungan permainan manakala Ahmet Atayev yang turut disisihkan sebelum ini akan kembali memperkuatkan bahagian tengah selepas melunaskan penggantungan permainan.

Tanpa Park, barisan empat pertahanan Tambadau akan digalas pemain tempatan diketuai ketua pasukan Rawilson Batuil bersama Mafry Balang, Dendy Lowa dan Evan Wensley manakala Rozaimie Rohim selaku penjaga gol utama.

Ahmet kembali mengemudi bahagian tengah bersama Mohd Azizan Nordin serta Alto Linus dan Jenius Karib di sayap kanan dan kiri sementara jentera serangan disandarkan kepada gandingan import Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes.

Sebagai rekod, petermuan kedua-dua pasukan pada pusingan pertama di Kelantan berkesudahan seri 3-3.

Sebarang keputusan malam ini bagaimanapun sudah tidak mempengaruhi kedudukan Tambadau Sabah selaku juara liga dengan 40 mata yang sudah dikutip.

Bagaimanapun, kemenangan amat penting buat Kelantan yang kini bergelut keluar dari zon penyingkiran selepas baru mengumpul 14 mata.

Kedudukan
P M S K J B MT
1. Sabah 18 12 4 2 31 15 40
2. JDT II 19 9 6 4 29 16 33
3. UiTM FC 19 8 4 7 32 24 28
4. N Sembilan 18 8 4 6 26 21 28
5. PDRM 18 8 3 7 26 23 27
6. TFC II 18 7 6 5 18 20 27
7. P Pinang 18 6 6 6 24 23 24
8. UKM FC 18 5 4 9 25 28 19
9. Selangor Utd 18 5 3 10 20 33 18
10. Kelantan 18 3 8 7 21 31 14
11. Sarawak 18 3 4 11 19 37 13

***Kelantan ditolak tiga mata atas keputusan FIFA.

Jadual perlawanan

Hari ini (13 Julai)
Sabah lwn Kelantan
Selangor Utd lwn Terengganu II
N Sembilan lwn PDRM

Ahad (14 Julai)
P Pinang lwn Sarawak

  • oleh
  • Advertisement