Anda di sini

Seramai 521 peserta bersaing

Advertisement
 Mastapa menunjukkan baju peserta Miri International Century Ride 2019 yang berlangsung pada 21 Julai ini.
LUMBA BASIKAL: Mastapa menunjukkan baju peserta Miri International Century Ride 2019 yang berlangsung pada 21 Julai ini.

MIRI: Seramai 521 peserta mengesahkan penyertaan mereka bakal bersaing pada kejohanan Miri International Century Ride (MICE) 2019 yang akan berlangsung pada 21 Julai (Ahad) ini.

Residen Bahagian Miri, Mastapa Julaihi berkata daripada jumlah itu penganjuran kali ketiga kejohanan tersebut menyaksikan jumlah terbesar peserta adalah dari negara jiran, Brunei Darussalam dengan 266 penyertaan.

“Penganjuran kejohanan ini sekali lagi menjadikan Miri sebagai tuan rumah untuk acara besar yang melibatkan peserta antarabangsa.

“Selain Brunei, negara-negara lain turut serta ialah United Kingdom, Jerman dan Singapura serta dari sekitar Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MICE 2019 di Pejabat Residen Miri, petang kelmarin.

Hadir sama ialah Miri International Century Ride, Abu Bakar Jolhassan dan Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri, Roley Lagir.

Menurut Mastapa, kejohanan itu juga merupakan program pelancongan sempena dengan Tahun Melawat Sarawak (TMS) 2019.

Selain penganjuran sukan lumba berbasikal, ia juga bagi menarik kedatangan pelancong ke Miri dan Sarawak secara amnya menyertai kejohanan di samping melihat keindahan yang ada di negeri ini.

“Acara kali ketiga sejak penganjurannya pada 2017 lalu, kita bukan sahaja membantu memajukan aktiviti sukan lumba berbasukal ini tetapi juga menjadikan sebagai acara rekreasi dengan gaya hidup sihat.

“Malah, penganjuran bertaraf antarabangsa ini turut membantu melonjakkan pelancongan tempatan dan menarik peserta-peserta luar untuk datang ke Miri khususnya sempena Tahun Melawat Sarawak (TMS),” ujarnya.

MICE 2019 merupakan anjuran Kelab Berbasikal Masterpiece Pujut bersama Lian Huat dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Miri serta Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri.

Kejohanan kayuhan sejauh 120km itu melibatkan lapan kategori dipertandingan iaitu Lelaki Elit, Terbuka Sarawak, Remaja Lelaki Bawah 18 Tahun, Lelaki Veteran 40 hingga 49 Tahun, Lelaki Master 50 Tahun dan ke atas, Terbuka Wanita, Mountain Bike serta Kom Sprint Competition terbuka kepada Lelaki, Lelaki Veteran, Wanita dan Mountain Bike.

Selain kejohanan terbabit, pelbagai program menarik turut diselitkan iaitu acara berbasikal bagi kanak-kanak berumur empat hingga tujuh tahun.

Hadiah cabutan bertuah bernilai RM20,000 dengan ‘Specialised Road Bike’ sebagai hadiah utama turut menanti pemenang bertuah.

Majlis pelepasan peserta dijangka dirasmikan oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin.

  • oleh
  • Advertisement