Anda di sini

Pelapis Sabah dominasi Golf Junior Piala Pengarah Pendidikan WP Labuan 2019

Advertisement
RAISIN (berdiri enam dari kanan) bersama Donnie, Jius dan pemain Pelapis Sabah semasa majlis penyampian hadiah Kejohanan Kejohanan Golf Junior Piala Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2019 di LGC, Rabu lalu.
RAISIN (berdiri enam dari kanan) bersama Donnie, Jius dan pemain Pelapis Sabah semasa majlis penyampian hadiah Kejohanan Kejohanan Golf Junior Piala Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2019 di LGC, Rabu lalu.

KOTA KINABALU: Pemain pelapis Sabah mendominasi Kejohanan Golf Junior Piala Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2019 di Labuan Golf Club (LGC) pada Rabu.

Pemain lelaki yang diketuai Bryan William James, 16, paling menyerlah apabila menyapu bersih kesemua lima kategori yang dipertandingkan.

Bryan menjuarai kategori lelaki bawah 18 tahun selepas menewaskan dua peserta tuan rumah Muhammad Syami Hakiki dan Aizul Yazid Zamri masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Mohd Miqami Azman, 13, memenangi pingat emas kedua dalam kategori bawah 15 tahun mengatasi naib johan Mohd Syami Syazwan dan pemenang tempat ketiga Muhd Asyraaf, kedua-duanya juga dari Labuan.

Dalam kategori lelaki bawah 12 tahun, bakat-bakat muda dari Sabah menguasai tiga kedudukan teratas di mana Jared Steve Madis,11, muncul juara manakala Muhd Darwisy Shahkeel dan Aliff Aryan Sabli menduduki tempat kedua dan ketiga.

Persaingan perempuan menyaksikan Sofiani Jani,13, dan Marisah Steve Madis memastikan kedudukan satu dua untuk Sabah dalam kategori bawah 15 tahun sambil Lailatul Huda Munawwarah (Labuan) menduduki tempat ketiga.

Pingat emas terakhir dimenangi Dynneva Joyce Donnie, 11, dalam kategori bawah 12 tahun perempuan selepas menewaskan Nur Fatin Syamimi dari Labuan manakala tempat ketiga juga dimenangi pemain Sabah, Caleigh Chua.

Kejohanan itu dianjurkan Edugolf Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Raisin Saidin yang turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.

Mengiringi pasukan Sabah ke kejohanan itu ialah Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Sabah, Tuan Jius @ Md Yussof Usiu dan jurulatih Donnie Intung.

Advertisement