Anda di sini

Kuching FA pertaruh barisan terkuat jumpa JBFA malam ini

 Joseph (tiga kiri) menunjukkan kemahiran menimang bola semasa sesi latihan sebagai persiapan menentang JBFA malam ini.
SESI LATIHAN: Joseph (tiga kiri) menunjukkan kemahiran menimang bola semasa sesi latihan sebagai persiapan menentang JBFA malam ini.

KUCHING: Skuad Kuching FA akan mempertaruh barisan terkuat dalam misi mengekalkan rekod kemenangan apabila melayan kunjungan Johor Bahru FA (JBFA) dalam saingan Liga M3 2019 di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam ini.

Pengendali Kuching FA, Ideris Untong menegaskan pihaknya tidak akan memandang mudah keupayaan JBFA yang sedang menduduki tangga ke-11 liga ketika ini.

Untuk itu, beliau memberi bayangan akan membuat rombakan kecil di beberapa posisi bagi memantapkan lagi skuad itu.

“Kita akan melakukan sedikit rombakan di posisi serangan dan tengah dengan memberi peluang kepada beberapa pemain simpanan untuk beraksi malam esok (malam ini).

“Kita tidak ambil mudah pihak lawan dan akan memasang barisan terbaik untuk menentang mereka,” kata jurulatih berusia 45 tahun itu ditemui di sini semalam.

Apa yang pasti jelas Ideris, penjaring terbanyak Kuching FA dengan 13 gol, Joseph Kalang Tie sekali lagi dipertaruhkan untuk mengemudikan jentera serangan.

Katanya, bek kental Hairol Mokhtar juga akan kembali memperkuat benteng pertahanan Kuching FA selepas digantung satu perlawanan ketika menentang Batu Dua FC pada Ahad lalu.

“Sasaran kita sudah pasti untuk memburu kemenangan ke-10 bagi memastikan Kuching FA terus kekal menguasai carta liga.

“Kerana itu saya mahu semua pemain mengekalkan fokus, tidak mensia-siakan setiap peluang untuk mencipta jaringan dan mengelak daripada melakukan kesilapan tidak sepatutnya,” kata Ideris.

Beliau juga menyeru penyokong-penyokong tempatan datang membanjiri Stadium Sarawak untuk melaungkan sokongan dan menyuntik semangat kepada Kuching FA malam ini.

Selepas 11 perlawanan, Kuching FA menjadi satu-satunya pasukan yang belum terkalah sekaligus kekal menguasai puncak liga dengan mengumpul 29 mata.