Anda di sini

Ivory Coast gagal meneruskan kemaraan

 Antara babak-babak aksi perlawanan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di antara Ivory Coast dan Algeria di Stadium Suez, Mesir. — Gambar Reuters
PENUH AKSI: Antara babak-babak aksi perlawanan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di antara Ivory Coast dan Algeria di Stadium Suez, Mesir. — Gambar Reuters

SUEZ: Pasukan pilihan untuk memenangi kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika Algeria menewaskan Ivory Coast 4-3 dalam penentuan tendangan penalti di Suez pada Khamis yang melegakan Baghdad Bounedjah untuk menempah perlawanan separuh akhir menentang Nigeria.

Perlawanan suku akhir itu berakhir 1-1 selepas masa tambahan selepas Sofiane Feghouli meletakkan Algeria di hadapan pada minit ke-20 sebelum ia diikat oleh Jonathan Kodjia pada minit ke-62.

Dalam penentuan tendangan penalti, cubaan Youcef Belaili terkena tiang gol apabila dia mendapat peluang untuk mencapai kemenangan bagi Algeria, kemudian tendangan kapten Ivory Coast Serey Die pula terkena tiang gol yang sama dan pasukannya tersingkir.

Bounedjah gagal menyempurnakan tendangan penalti pada babak kedua dalam perlawanan biasa dan kelihatan kecewa dengan kegagalannya, bimbang ia akan menyebabkan Algeria gagal untuk mara ke peringkat separuh akhir pertamanya sejak 2010.

Ia merupakan pergelutan yang tegang di antara dua bekas juara itu, tetapi 58 kekasaran dan 22 daripada 36 cubaan gol yang tersasar menghalangnya daripada menjadi satu pertunjukan.

Kemenangan dalam penentuan tendangan penalti diklasifikasikan sebagai keputusan seri, maka itu Algeria menyerahkan rekod 100 peratus terakhir dalam kejohanan itu selepas kemenangan ke atas Kenya, Senegal, Tanzania dan Guinea.

“Perlawanan itu sangat sukar kerana Ivory Coast jitu, teratur dan menunggu kesilapan daripada kami,” kata jurulatih Algeria, Djamel Belmadi.

“Fikiran saya bersama Youcef Atal selepas dia dikeluarkan pada separuh masa pertama kerana kecederaan bahu. Ini adalah satu-satunya titik gelap pada malam ini.

“Saya rasa kita sedang menuju ke penghujung (kejohanan baginya). Seorang pemain sepertinya sewajarnya bermain dalam pertarungan seterusnya, menentang Nigeria.”

Algeria mengekalkan pasukan yang memulakan kemusnahan Guinea pada peringkat 16 terakhir, keputusan yang mengesahkan kepercayaan ramai jurulatih lawan bahawa pasukan “Desert Foxes’ adalah pasukan yang perlu ditewaskan.

Jurulatih Ivory Coast Ibrahim Kamara menukar dua anggota pasukan yang bermain dalam kemenangan 1-0 yang hambar ke atas Mali pada pusingan kalah mati pertama.

Pemain tengah Ibrahim Sangare dan penyerang Max-Alain Gradel dipilih untuk memulakan perlawanan di tempat Jean-Philippe Gbamin dan Nicolas Pepe yang bermain di bawah prestasi sebenar selepas menjadi penjaring kedua terbanyak dalam Ligue 1 pada musim lepas.

Ini merupakan pertemuan kelapan dalam Piala Negara-Negara di antara kedua-dua negara dengan Ivory Coast yang memegang kelebihan. — AFP