Anda di sini

China diselar di PBB berhubung isu penahanan etnik Uighur

Advertisement
 Dilibair Yusuf memegang poster yang menyelar layanan China ke atas etnik Uighur di wilayah Xinjiang semasa kemunculan Ketua Kewangan Huawei Meng Wanzhou di Mahkamah Agung British Columbia di Vancouver, Kanada pada 8 Mei. — Gambar Reuters
SELAR: Dilibair Yusuf memegang poster yang menyelar layanan China ke atas etnik Uighur di wilayah Xinjiang semasa kemunculan Ketua Kewangan Huawei Meng Wanzhou di Mahkamah Agung British Columbia di Vancouver, Kanada pada 8 Mei. — Gambar Reuters

GENEVA: Hampir 24 negara menggesa China agar tidak melakukan penahanan sewenang-wenangnya etnik Uighur dan minoriti lain di wilayah autonomi yang terletak di barat laut negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik sepucuk surat daripada diplomat ke Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Surat kepada presiden UNHCR itu ditandatangani diplomat 22 negara termasuk Australia, New Zealand, Kanada, Jepun, United Kingdom, Perancis, Jerman, Sweden, Latvia, Lithuania, Estonia, Denmark, Norway, Ireland Utara, Belanda, Iceland, Luxembourg, Sepanyol, Austria, Ireland, Belgium dan Switzerland.

Wilayah Xinjiang di China merupakan kediaman kira-kira 10 juta orang Uighur. Kumpulan Islam Turki itu, yang membentuk kira-kira 45 peratus daripada populasi Xinjiang, sudah lama mendakwa pihak berkuasa China melakukan diskriminasi budaya, agama dan ekonomi.

“Kami menggesa China agar menegakkan undang-undang negaranya dan kewajipan antarabangsa serta menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas, termasuk kebebasan ber-agama atau kepercayaan, di Xinjiang dan seluruh China.

“Kami juga menggesa China agar tidak melakukan penahanan sewenang-wenangnya dan sekatan terhadap kebebasan per-gerakan etnik Uighur dan komuniti Islam serta minoriti lain di Xinjiang,” menurut surat yang ditulis oleh kebanyakan diplomat negara Barat itu.

Surat itu menzahirkan kebimbangan berkaitan laporan mengenai pusat tahanan, pengawasan intensif dan sekatan lain yang khususnya menyasarkan etnik Uighur dan minoriti lain di Xinjiang.

Sementara itu, Duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Chen Xu menyangkal dakwaan itu dan berkata surat berkenaan di-tulis oleh “sekumpulan kecil negara Barat dan bermotifkan politik.”

Dalam satu laporan pada September lepas, Human Rights Watch mendakwa kerajaan China melaksanakan satu “kempen yang melanggar hak asasi manusia secara sistematik” terhadap umat Islam etnik Uighur di Xinjiang. — Bernama

Advertisement