Anda di sini

Ukraine merancang lebih banyak kerjasama dua hala dengan Malaysia

Advertisement
 Olexander (tiga kiri) menerima cenderamata khas daripada Lee sambil                                     disaksikan ahli-ahli jawatankuasa yang lain.
TERIMA KASIH: Olexander (tiga kiri) menerima cenderamata khas daripada Lee sambil disaksikan ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

MIRI: Ukraine kini merancang dan sedang berusaha untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dua hala dengan Malaysia, sambil berharap dapat menerokai lebih banyak peluang perniagaan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo berkata, perdagangan antara Ukraine dan Malaysia telah berkembang bukan sahaja dari segi eksport tetapi juga import.  

“Ukraine mula membekal-kan barangan seperti coklat, epal dan bawang ke Malaysia dan saya akui pasaran Malaysia sangat kompetitif.

“Malah salah satu pengeluar kami terpaksa mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan saya gembira memberitahu anda sekarang bahawa kami telah membekalkan bahagian ayam (yang diiktiraf halal) ke Malaysia.

“Ini satu peluang yang besar bagi kami,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ucapannya sempena program dialog bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri (MCCCI) di sini, semalam sempena lawatan rasmi tiga hari ke Miri.

Turut hadir Naib Pengerusi 1 MCCCI Lee Choon Seng dan ahli-ahli jawatankuasa MCCCI.

Olexander berkata, Ukraine adalah pasaran yang besar untuk Malaysia dan terdapat banyak peluang yang boleh diterokai bersama oleh kedua-dua negara, termasuk industri perkayuan.

“Kami adalah negara de-ngan populasi 43 juta orang yang mempunyai bentuk muka bumi yang berdataran luas serta subur, seperti Jerman dan UK yang disatukan. Kami memiliki dataran tanah yang luas dan saya percaya terdapat banyak peluang untuk Malaysia.

“Melihat kepada ekonomi di sini, di Miri, saya percaya industri perkayuan boleh menjadi salah satu bidang untuk kita bekerjasama. Ukraine juga mengeluarkan kayu, tetapi kami memproses kayu kami di Ukraine,” katanya.

Beliau menambah bahawa Ukraine adalah salah satu kuasa ekonomi utama di Eropah serta salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di Eropah ketika ini.

“Walaupun keadaan kami sukar, dengan adanya tekanan dan persaingan daripada negara-negara jiran kami, namun kami berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik iaitu 3.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).”

“Kami juga menyusun semula ekonomi negara kami dan kini pemacu utama untuk ekonomi Ukraine adalah pertanian dan teknologi maklumat.

“Kami percaya bahawa kedua-dua faktor ini akan membantu kami mencapai masa depan yang baik, bukan hanya di Eropah, tetapi juga untuk mengembangkan hubungan dan kerjasama perdagangan kami dengan negara-negara di rantau Asia Pasifik,” tambahnya.

Olexander menjelaskan bahawa ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober tahun lalu, beliau menyedari kerajaan baharu Malaysia memberi perhatian yang sangat penting dalam membangun dan menjalin hubungan baik dengan Ukraine.

“Tun malah mengimbau kembali lawatannya ke Kiev pada tahun 2003 dan beliau menjanjikan sokongan politik penuh untuk maju menerusi hubungan pembangunan dengan Ukraine

“Jadi saya percaya kewajipan saya sebagai duta untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan komuniti perniagaan di kedua-dua belah pihak berasa sangat selesa,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Ukraine telah meningkatkan jumlah import minyak kelapa sawit dari Malaysia, sejak tiga tahun lalu.

Malah Ukraine membuat pembelian minyak kelapa sawit dua kali ganda banyak dari Malaysia, berbanding Rusia.

“Kami percaya ini adalah komitmen kami kepada Malaysia dan kami melakukannya bukan kerana mahu membantu Malaysia sahaja, tetapi kami yakin dan percaya ia adalah situasi menang-menang di antara kedua-dua negara, Malaysia dan Ukraine,” katanya.

Menurut Olexander lagi, memandangkan Ukraine bukan ahli penuh bagi Ke-satuan Eropah (EU), maka ia tidak tertakluk dengan semua pelaksanaan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh mereka (EU).

“Kami bukan ahli penuh EU sebaliknya hanya ahli bersekutu, yang sekali gus membolehkan kami untuk tidak terikat atau melaksanakan undang-undang dan peraturan yang dikeluarkan oleh EU terutama berhubung minyak kelapa sawit,” katanya.  

Mengenai lawatannya ke Miri pula, Olexander berkata ini adalah lawatan pertama beliau ke sini dan melahirkan rasa kagum dengan perkembangan aktiviti perniagaan serta ekonomi di sini.

“MCCCI pula yang mempunyai seramai 500 ahli, menunjukkan peluang yang intensif dan saya amat berharap akan wujud permulaan baik dalam bidang ekonomi di antara Ukraine dengan Miri kelak,” tambanya.

Advertisement