Anda di sini

Tiada wakil PSB dilantik ahli majlis PBT

Advertisement
 Masing bercakap kepada pemberita ketika ditemui di lobi Wisma Bapa Malaysia di Kuching, semalam selepas menghadiri mesyuarat kabinet negeri.
TIDAK ADA: Masing bercakap kepada pemberita ketika ditemui di lobi Wisma Bapa Malaysia di Kuching, semalam selepas menghadiri mesyuarat kabinet negeri.

KUCHING: Tidak ada wakil daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilantik sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang baharu telah dimuktamad dalam senarai yang telah dimuktamadkan.

Terdapat 700 nama di dalam senarai itu yang merupakan ahli majlis bagi 24 PBT di seluruh negeri.

Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing ketika ditemui di lobi Wisma Bapa Malaysia di sini selepas menghadiri mesyuarat kabinet negeri semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan juga menafikan mesyuarat kabinet itu membincangkan perkara berkaitan rombakan kabinet sebaliknya menyentuh isu-isu dan perkara berhubung pentadbiran negeri.

“Senarai kaunselor yang baharu telah dimuktamadkan hari ini dan saya (boleh) mengesahkan mereka dilantik ini semuanya daripada parti komponen GPS (Gabungan Parti Sarawak). Tidak ada wakil daripada PSB (Parti Sarawak Bersatu),” katanya.

Masing bagaimanapun berkata senarai ahli majlis itu perlu disahkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud terlebih dahulu.

“Ahli Majlis baharu ini mula bertugas 1 Julai 2019, jadi jika TYT memberi pengesahan bulan depan, maknanya tarikh pelantikan berkuasa kuasa diundurkan,” ujarnya.

Tiada pelantikan wakil PSB sebagai ahli majlis PBT kali ini bermakna jawatan berkenaan di Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan diberikan kepada parti komponen GPS.

Sebelum tempoh jawatan ahli majlis PBT sebelum ini tamat pada 30 Jun lepas, Naib Presiden Kanan PSB yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King memegang jawatan pengerusi MPS selama 15 tahun bermula ketika beliau masih bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Sebelum ini, pernah dilaporkan SUPP melobi untuk jawatan pengerusi MPS termasuk lima SUPP Cawangan Sibu mahu orang yang menyandang jawatan itu dipersetujui parti berkenaan.

Dalam senarai ahli majlis sebelum ini, hanya dua wakil daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) atau kini PSB dilantik masing-masing di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), seorang dengan Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan tujuh termasuk jawatan pengerusi di MPS.

Tiada pelantikan wakil daripada PSB kali ini juga bermakna peruntukan bagi jawatan tersebut akan diberikan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ketika ini, pelantikan ahli majlis adalah pelantikan politik dan berkhidmat selama dua tahun dan tempoh perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan sehingga setahun malah boleh dilantik semula untuk penggal seterusnya.

Bagi kes MBKS, datuk bandarnya iaitu Datuk James Chan bukan pelantikan politik dan tempoh perkhidmatannya bakal tamat pada 31 Ogos tahun ini.

Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh yang juga Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang enggan mengulas mengenai senarai ahli majlis yang baharu itu apabila ditemui pemberita di lobi Wisma Bapa Malaysia selepas turut menghadiri mesyuarat kabinet tersebut.

  • oleh
  • Advertisement