Anda di sini

Sukan pupuk gaya hidup sihat

Advertisement
RAKAM (depan memegang bola takraw) bersama para pemain dan ajk penganjur.
RAKAM (depan memegang bola takraw) bersama para pemain dan ajk penganjur.

TUARAN: Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Rakam Sijim memuji usaha para belia Kampung Tembiluk, Tuaran dalam penganjuran pertandingan sukan sepak takraw sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha ini secara tidak langsung menggalakkan penduduk kampung khususnya para belia menerapkan budaya hidup sihat, cergas dan aktif.

Tambahan pula katanya, masyarakat kini berdepan dengan pelbagai jenis penyakit akibat gaya hidup tidak aktif, kurang bersenam, pemakanan tidak sihat serta pelbagai tekanan hidup.

"Justeru, program ini boleh mewujudkan kesedaran pen­tingnya menjaga kesihatan serta sentiasa aktif dan beriadah," katanya ketika merasmikan  kejohanan tersebut.
    
Rakam berkata, di samping itu acara sukan juga dapat memupuk persefahaman serta mengeratkan hubungan di kalangan penduduk kampung.
    
Beliau juga  mengingatkan para belia agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat.
    
Katanya, para belia haruslah sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang dapat membentuk masa depan mereka.
    
Beliau juga menyeru agar para belia sentiasa peka dengan program kerajaan yang menjurus kepada pembangunan belia dan mengambil peluang terhadap program yang dapat membangunkan taraf hidup mereka.
    
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Kejohanan Abdul Madu memberitahu pertandingan berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu remaja dan dewasa.
    
Kejohanan tersebut telah disertai oleh enam pasukan remaja dan 10 pasukan dewasa daripada beberapa kampung yang berdekatan antaranya  Kampung Tembiluk, Kampung Buansa, Kampung Soang Kerumaan, Kampung Pensurun dan Kampung Gerinsing.
    
Penasihat Kumpulan Belia Kampung Tembiluk Addy Syah berkata di masa hadapan mereka akan menganjurkan kejohanan jenis sukan lain seperti bolasepak dan bola tampar.
    
Addy juga berharap, kerajaan dapat memberi lebih sokongan kepada usaha penganjuran kejohanan sukan di kalangan masyarakat setempat dengan penyediaan kemudahan yang diperlukan.

Advertisement