Anda di sini

Shell beri komitmen tinggi bangunkan CSR komuniti Sabah

Advertisement
USAHAWAN tempatan yang berjaya memenangi geran bantuan menerusi Program Shell Livewire.
USAHAWAN tempatan yang berjaya memenangi geran bantuan menerusi Program Shell Livewire.

KOTA KINABALU: Keperluan dalam peningkatan kualiti hidup komuniti khususnya masyarakat di luar bandar sentiasa mendapat keprihatinan pelbagai pihak.

Shell sebuah jenama terkemuka dunia antara syarikat yang sering tampil dalam menghulurkan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Di serata dunia, pelbagai usaha dilaksanakan Shell menerusi bermacam projek dan program dalam membantu membangunkan kualiti hidup masyarakat.

Di Malaysia, khususnya di Sabah, usaha sedemikian tidak ketinggalan dilaksanakan Shell bagi memastikan lebih ramai masyarakat terutama di kawasan luar bandar berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik.

Dari program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hinggalah program pembangunan pendidikan serta kemajuan ekonomi, usaha dan komitmen Shell merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum Company Ltd Pritihipal Singh berkata, di Sabah beberapa projek pelaburan sosial menjadi fokus Shell yang melibatkan pembangunan komuniti tempatan.

Menurutnya, menerusi CSR 'Access To Energy' (A2E), pihaknya dapat membantu penduduk kampung di kawasan pedalaman menikmati bekalan elektrik yang lebih mampan.

"Projek A2E pertama Shell di Sabah dilaksanakan di Kampung Sabibingkol Pensiangan pada 2017 berjaya membantu penduduk kampung dengan bekalan elektrik menerusi projek Hybrid Micro-Hydro Solar Grid.

"Sekurang-kurangnya lebih 40 keluarga akhirnya menikmati bekalan elektrik yang membantu mereka dalam urusan harian.

"Shell turut membangunkan Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi di kawasan ini agar hasil produktiviti warga setempat dapat dipasarkan sekali gus meningkatkan penjanaan pendapatan penduduk sekitar," katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan projek pertama itu akhirnya membawa kepada pelaksanaan satu lagi projek A2E di Kampung Buayan dan Tiku Penampang.

Katanya, usaha berkenaan bakal membantu lebih 70 keluarga dari kedua-dua kampung dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Prithipal berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan iaitu Pacos Trust dan Tonibung.

Selain pembangunan sosial komuniti, Shell turut menjalin kerjasama dengan beberapa institut pendidikan tinggi dan sekolah bagi menyediakan bantuan pembangunan pendidikan yang lestari.

"Tahun lepas, Shell berpeluang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membuka peluang kepada seramai 50 pelajar bidang kejuruteraan menimba pengalaman kerja bersama Shell.

"Para pelajar dapat merasai pengalaman sebenar bekerja dalam bidang minyak dan gas dan mereka juga diberikan tugasan untuk kajian yang akan dibentangkan sebagai projek akhir.

"Menerusi program ini, Shell dapat menyediakan perkongsian maklumat dan ilmu pengetahuan agar para pelajar menerima pendedahan awal berkaitan dengan cabaran bekerja dalam bidang ini," jelasnya.

Pada masa sama, Prithipal juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) menerusi Program CEO@Faculty di UMS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program berkenaan memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi pengetahuan dan menjadi mentor pelajar berhubung keperluan industri yang terkini.

Beliau berkata, usaha itu menjadi satu lagi komitmen Shell dalam membantu pelajar terutama dari latar belakang bidang kejuruteraan agar lebih fokus terhadap bidang yang diceburi.

"Projek lain yang menjadi fokus Shell dari segi pelaburan sosial ialah Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (Stem) dalam membantu golongan pelajar dari pelbagai peringkat membina kreativiti dan ilmu pengetahuan yang lebih cemerlang.

"Dari segi keselamatan, Program #ShellSelamatSampai sememangnya banyak merekodkan kejayaan khususnya dalam meningkatkan kesedaran golongan pelajar dari peringkat sekolah rendah tentang kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya," katanya.

Usaha berterusan yang dilaksanakan Shell itu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan syarikat berkenaan.

Selain itu, katanya, pembangunan ekonomi komuniti antara fokus Shell dalam membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat menerusi bidang perniagaan.

Menurutnya, di bawah Program Sabah Shell Livewire, hampir 300 usahawan di negeri ini menerima manfaat sejak 2015 termasuk 18 pemenang yang menerima geran bantuan sebanyak RM10,000 daripada Shell.

"Shell Livewire adalah satu projek pelaburan yang membantu golongan usahawan dalam meningkatkan hasil produktiviti perusahaan yang dijalankan serta mengembangkan lagi pasaran masing-masing.

"Tahun ini, Sabah Livewire akan bermula dengan Bengkel 'Bright Ideas' di Keningau pada 13 Julai, Penampang 27 Julai dan Kota Kinabalu pada 29 Julai ini.

"Justeru, para usahawan di negeri ini boleh mencuba peluang ini bagi menambahkan lagi kejayaan perusahaan sedia ada di Sabah," katanya.

Hasil usaha dan komitmen Shell dalam pembangunan komuniti sentiasa berterusan seiring dengan peranan dan tanggungjawabnya sebagai syarikat pengeluar minyak terkemuka dunia.

Beliau berkata, setiap usaha dan bantuan yang dilaksanakan Shell tidak akan berjaya dicapai tanpa pembangunan mampan Shell dalam pengeluaran hasil minyak yang berkualiti tinggi.

PASUKAN yang mewakili UMS dengan hasil projek semasa Program #ShellSelamatSampai bersama Prithipal (belakang, dua kanan).
PASUKAN yang mewakili UMS dengan hasil projek semasa Program #ShellSelamatSampai bersama Prithipal (belakang, dua kanan).

Katanya, pelaburan yang dijana menerusi projek laut dalam Shell antara penyumbang utama yang membantu pembangunan dan sumber tenaga yang berkualiti tinggi.

"Gumusut-Kakap adalah projek pembangunan laut dalam pertama Shell di negara ini bermula 2014 yang berlokasi di kawasan luar pesisir (offshore) Sabah.

"Projek laut dalam kedua Shell di Malaysia turut dibina di luar pesisir Sabah iaitu Malikai dan pernah menerima anugerah 'IEM Outstanding Engineering Achievement Award' daripada Institut Jurutera Malaysia (IEM)," katanya.

Beliau berkata, pembangunan kedua-dua projek utama itu bukan sahaja mampu menyumbang kepada hasil pengeluaran minyak yang berkualiti tinggi, malah ia turut menyokong usaha Shell dalam pembangunan sosial komuniti di negeri ini.

Dalam pada itu, Prithipal berkata bertepatan dengan penganjuran Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah (SOGCE) buat kali ketujuh tahun ini, pihaknya berharap ia menjadi platform untuk membina rangkaian dalam kalangan pemain industri secara menyeluruh.

Menurutnya, sejak beberapa tahun lepas, Shell antara penaja yang sentiasa memberi sokongan agar lebih banyak produk tempatan melibatkan bidang minyak dan gas dapat dibangunkan.

  • oleh
  • Advertisement