Anda di sini

Rakyat Sarawak harus bersatu pertahan negeri

Advertisement
MINOS
MINOS

KUCHING: Rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa harus bersatu dalam mempertahankan negeri atau ditawan oleh orang luar.

Bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri di atas, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos berkata umum mengetahui bahawa parti Semenanjung Malaysia berikrar untuk mengambil alih Kerajaan Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Parti dari Semenanjung seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) di bawah Pakatan Harapan (PH) secara terbuka mengisytiharkan bahawa mereka berhasrat untuk memenangi dan mengambil alih Kerajaan Sarawak pada PRN yang dijadual pada 2021 atau lebih awal.

“Mereka sangat serius dan sekarang bergerak ke seluruh negeri menerusi lawatan, perjumpaan dan cara lain untuk memancing undi rakyat.

“Rakyat Sarawak harus mengambil serius niat PH ini dan tanya pada diri sendiri adakah kita mahu parti dan pemimpin dari luar memimpin negeri ini atau kita mahu parti dan pemimpin dari Sarawak untuk terus memimpin negeri ini,” ujarnya kepada Utusan Borneo.

Tambah Minos, sebagai rakyat Sarawak, beliau berasa lebih baik, selamat dan selesa diperintah oleh parti politik dan pemimpin dari Sarawak.

“Kita sangat gembira dengan keharmonian agama dan bangsa yang sedia ada di Sarawak ketika ini.

“Kita tidak mahu perkara baik yang sedang kita nikmati sekarang ini akan berubah dan terganggu disebabkan kemasukan pihak luar dengan budaya pelik mereka,” ujarnya.

Jelas Minos lagi, meskipun Sarawak menolak kemasukan parti dan pemimpin luar tetapi tidak bermaksud rakyat negeri ini tidak cintakan Malaysia.

Tetapi katanya, rakyat Sarawak mahu negeri ini kekal seperti apa yang dinikmati pada hari ini iaitu negeri yang aman, harmoni dan gembira untuk didiami.

“Masa depan negeri ini akan ditentukan tidak lama lagi pada Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

“Justeru, rakyat Sarawak harus membuat pilihan yang bijak dan berhati-hati dalam menentukan kerajaan mana yang akan memimpin negeri ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement