Anda di sini

PSB belum terima surat peletakan jawatan daripada Dr Jerip

Advertisement

KUCHING: Sekretariat Parti Sarawak Bersatu (PSB) memaklumkan bahawa parti itu belum menerima surat peletakan jawatan daripada Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.

Setiausaha Agung PSB George Lo dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu, pihaknya tidak menjangka Dr Jerip akan membuat keputusan sedemikian.

“Ketika kami berjumpa di pejabat Yang Berhormat (YB)(Menteri Kewangan Kedua) Dato Sri Wong Soon Koh pagi semalam bersama YB Datuk Dr Jerip, YB Datuk Ranum Mina dan YB Dr Johnical Rayong, Dr Jerip tidak memberi bayangan beliau mahu letak jawatan.

“Malah, kami merakam beberapa gambar sambil bergandingan tangan bagi menunjukkan perpaduan setiap daripada kami,” katanya.

Tambah George, gambar itu diambil Setiausaha Sulit Wong, May Tan menggunakan telefon beliau dan Dr Rayong.

Beliau menjelaskan, gambar berkenaan diambil pada jam 12.24 tengah hari, 10 Julai 2019 berdasarkan tarikh dan masa yang tertera di telefon miliknya yang digunakan itu yang mana ia sama tarikh dengan surat peletakan jawatan tersebut.

“Dalam surat peletakan jawatan yang diedarkan kepada media, Datuk Jerip mendakwa beliau membuat keputusan itu selepas mengambil pandangan rakyat di kawasan.

“Adakah beliau ada surat peletakan jawatan itu di poketnya ketika beliau berganding tangan dengan kami?” soalnya.

Kata Lo lagi, beliau amat terkejut melihat kenyataan Dr Jerip yang bertarikh semalam dan pihaknya berjumpa semalam sehingga jam 12 tengah hari.

“Saya tidak tahu selebihnya daripada kenyataan yang dihantar kepada saya oleh media,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Rayong memberitahu, beliau sedih dengan tindakan Dr Jerip keluar daripada parti.

“Tetapi ini menunjukkan jenis prinsip politik beliau,” katanya.

Advertisement