Anda di sini

Penguasaan bahasa Inggeris penting dalam era globalisasi

 Dr Azhar melakukan gimik perasmian Majlis                           Penutupan Karnival Bahasa Inggeris dan Robotik Peringkat                        Negeri Sarawak di SMK Merbau malam kelmarin sambil                                      disaksikan Shirini (kiri) serta yang lain.
MENARIK: Dr Azhar melakukan gimik perasmian Majlis Penutupan Karnival Bahasa Inggeris dan Robotik Peringkat Negeri Sarawak di SMK Merbau malam kelmarin sambil disaksikan Shirini (kiri) serta yang lain.

MIRI: Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar amat penting bagi memperoleh akses kepada maklumat dan pengetahuan khususnya dalam era globalisasi yang berdaya saing masa kini.

Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad berkata, pelajar perlu menguasainya untuk membolehkan mereka mendapat maklumat dalam media elektronik seperti Internet memandangkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih menggunakan bahasa itu.

“Malah menguasainya juga dapat melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan agar dapat bersaing dalam ekonomi global yang semakin pesat seperti yang ditunjukkan dalam pelan pendidikan Malaysia 2013-2025,” ujarnya.

Menurut Dr Azhar, pembelajaran bahasa Inggeris dilihat sukar tetapi amat perlu khususnya dalam berkomunikasi dengan mereka yang berbeza negara sama ada bagi perbincangan mahu-pun dalam pelaburan perniagaan.

“Kebanyakan orang berinteraksi dalam bahasa Inggeris mempunyai bunyi tutur yang berbeza, tetapi para pelajar tidak perlu begitu bimbang mengenai bunyi Inggeris yang anda tuturkan, apa yang penting ialah penggunaan bahasa itu sendiri dengan berkesan dan komunikasi yang bermakna,” jelasnya.

Dr Azhar berkata demikian pada Majlis Penutupan Karnival Bahasa Inggeris dan Robotik Peringkat Ne-geri Sarawak 2019 di SMK Merbau di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Miri Shirini Mastura Mohamed Zulkifli, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Ne-geri Sarawak Mortadza Sat, Pengurus Wilayah Sarawak Bank Rakyat Azman Abdul Aziz, Pengarah SASBADI Learning Solution Sdn Bhd Kevin Kwan serta tetamu kehormat lain.

Jelas Dr Azhar, pendidikan negara kini menjalani proses perubahan pesat dalam semua aspek seperti dalam pelan pendidikan Malaysia.

Justeru katanya, sebagai pihak yang diamanahkan untuk membawa perubahan itu, Jabatan Pendidikan Sarawak berusaha memasti-kan proses transformasi tersebut merupakan kerja-sama positif antara kerajaan negeri, sektor swasta, sektor pendidikan serta semua peringkat masyarakat.

“Oleh itu, kita mesti berusaha memastikan semua pelajar diberi peluang untuk merealisasikan potensi mereka selain melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berdaya saing,” kata-nya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa berusaha menguasai bahasa Inggeris setiap hari.

“Anda (pelajar) akan melihat peningkatan yang lebih baik bukan sahaja dalam menguasai bahasa Inggeris, tetapi juga tahap keyakinan anda turut meningkat,” tambahnya.

Mengulas mengenai karnival terbabit, beliau yakin setiap peserta yang me-nyertai mendapat pengalaman dan pendedahan yang berharga.

Katanya, Jabatan Pendidikan Sarawak sentiasa percaya dengan memberi penekanan terhadap kesetaraan pendidikan dan berusaha untuk memberi pendidikan terbaik kepada setiap pelajar tanpa mengira etnik, geografi atau latar belakang sosioekonomi mereka sejajar dengan motonya  Fly Kenyalang Fly, Fly High’.

Sementara itu, seramai 1,300 pelajar dan guru daripada 29 Pejabat Pendidikan Daerah di Sarawak menyertai Karnival Bahasa Inggeris dan Robotik Peringkat Negeri Sarawak yang telah berlangsung pada 8 hingga 10 Julai lalu di Miri.

Sejumlah 12 jenis pertandingan koakademik bahasa Inggeris dan satu pertandingan robotik yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah rendah dan mene-ngah di seluruh Sarawak.