Anda di sini

Pasangan California fail tuntutan saman IVF

Advertisement
 Gambar tidak bertarikh daripada program Peiffer Wolf Carr & Kane menunjukkan Anni dan Ashot menceritakan kisah mereka kepada media. — Gambar AFP
KESAL: Gambar tidak bertarikh daripada program Peiffer Wolf Carr & Kane menunjukkan Anni dan Ashot menceritakan kisah mereka kepada media. — Gambar AFP

LOS ANGELES: Sepasang suami isteri di California telah memfailkan tuntutan saman berhubung apa yang digambarkan sebagai salah satu kesilapan IVF terburuk, sehingga menyebabkan seorang wanita lain melahirkan bayi lelaki mereka.

Anni dan Ashot Manukyan, dari bandar Glendale di pinggir Los Angeles, berkata kehidupan mereka tunggang-langgang selepas embrio mereka dan embrio dua pasangan lain dikendali-kan dengan salah oleh CHA Fertility Center.

Akibatnya, kata mereka, seseorang yang mereka langsung tidak kenali di New York telah melahirkan anak mereka pada Mac lalu selepas dua embrio – embrio mereka dan embrio milik satu lagi pasangan yang tidak dinyata-kan nama – diimplan dengan salah ke dalam rahim wanita berkenaan.

Wanita New York tersebut, yang berketurunan Korea-Amerika, menjangkakan kelahiran kembar perempuan tetapi pada akhirnya melahirkan dua bayi lelaki.

Pasangan Manukyan memberitahu pemberita kelmarin bahawa mereka tidak tahu mereka ada anak lelaki sehingga klinik terbabit, yang terletak dalam kawasan Los Angeles, tiba-tiba meng-hubungi mereka untuk men-dapatkan DNA mereka supaya ia dapat menentukan sama ada bayi yang dilahirkan kepada pasangan New York terbabit adalah bayi mereka ataupun bukan.

Memburukkan lagi keadaan, Anni kemudian dimaklumkan bahawa dia telah diimplan dengan embrio – yang gagal menghasilkan kandungan – milik pasangan lain yang juga pelanggan di klinik kesuburan terbabit.

Pasangan Manukyan berkata selepas tindakan undang-undang yang berlarutan, mereka akhirnya mendapatkan hak penjagaan ke atas anak lelaki mereka pada Mei lalu, ketika bayi itu berusia enam minggu.

“CHA meletakkan tiga keluarga dalam neraka, dan kehidupan kami tidak akan sama lagi,” kata Ashot Manukyan kepada pemberita.

“Kami berjuang untuk mendapatkan semula bayi lelaki kami, dan sekarang kami akan berjuang untuk memastikan ini tidak akan berlaku lagi.”

Isterinya nampak emosional di sidang akhbar berkenaan, dan berkata pengalaman itu ternyata traumatik.

“Siapakah mahu berjumpa dengan anak mereka di lobi sebuah hotel?” kata Anni Manukyan. “Ia begitu menyayat hati. Ia dahsyat sekali.”

Adam Wolf, peguam yang mewakili pasangan itu, memberitahu AFP bahawa kesilapan itu merupakan “salah satu tragedi pusat kesuburan terburuk pernah saya lihat”.

“Firma saya mewakili ratusan orang yang telah menjadi mangsa salah laku pusat kesuburan tetapi saya tidak pernah melihat apa-apa seperti ini,” katanya.

“Anni dan Ashot begitu kecewa sekali kerana mereka tidak dapat membawa anak mereka ke dalam dunia, dan memegang anak mereka pada saat-saat pertama dalam kehidupannya. “Ini adalah sebuah klinik kesuburan yang tidak dapat dipercayai.”

Seorang wanita yang menjawab telefon di klinik terbabit pada petang kelmarin berkata kemudahan itu sudah ditutup awal pada hari itu dan wakil tidak ada untuk membuat kenyataan.

Pasangan New York yang terlibat dalam kesilapan itu juga sudah memfailkan tuntutan saman di mahkamah persekutuan di Brooklyn, untuk mendapatkan ganti rugi selepas mengalami apa yang mereka sebut sebagai “luka emosi yang signifikan dan kekal dari mana mereka tidak akan pulih”.

Pasangan itu, yang hanya dikenali menerusi huruf awal nama mereka dalam dokumen mahkamah, memulakan rawatan penyuburan in vitro di CHA Fertility Center pada Januari 2018.

Wolf berkata pelanggannya masih tidak tahu siapa yang memiliki embrio yang dimasukkan oleh CHA ke dalam rahim Anni.

“Mereka enggan memberitahu kami bagaimana ini berlaku,” katanya. — AFP

Advertisement