Anda di sini

Mustahil ‘mangsa rogol’ tak dapat buka pintu?

 

KUCHING: Agak musykil apabila seorang gadis berusia 19 tahun tidak dapat melarikan diri ketika ada peluang berbuat demikian untuk mengelak dirinya menjadi mangsa rogol dalam kereta oleh seorang lelaki berumur 20 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad dalam keputusan kes rogol yang didakwa berlaku dalam kereta di rumah penginapan Matang pada 14 September 2018 berkata gadis tersebut juga boleh membuka pintu dari dalam secara manual meskipun dikunci. 

Juga mustahil bagi tertuduh, Awang Amirul Hamzah Awang Zulkifli, dapat memperkosa kerana ruang di tempat duduk hadapan kereta agak sempit.

Justeru, tertuduh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan tuduhan.

Setelah meneliti segala hujah termasuk bertulis, mahkamah mendapati tiada elemen dapat membuktikan tertuduh melakukan perbuatan terbabit.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Mohd Hazmi dan Christopher Bada.