Anda di sini

Mangsa bom ikan pernah diugut bunuh tahun lepas

SEMPORNA: Salah seorang mangsa bahan letupan bom ikan yang juga penyelam bertauliah, Ab Zainal Abdul, 31, disahkan pernah membuat laporan polis pada tahun lepas kerana mendakwa menerima ancaman bunuh.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata polis meneliti semua petunjuk kes termasuk berpandukan laporan polis yang pernah dibuat Zainal di IPD Semporna.

OMAR menemui Ismail (berbaju putih), nelayan yang mengaku ada terdengar bunyi letupan.
OMAR menemui Ismail (berbaju putih), nelayan yang mengaku ada terdengar bunyi letupan.

“Memang kita ketahui si mati ada membuat laporan polis, tetapi perkara ini masih dalam siasatan,” katanya, sambil mendedahkan bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Omar berkata demikian pada sidang media di Pulau Kulapuan di sini, pada Jumaat, selepas melawat kawasan yang didakwa lokasi kejadian dan tempat mayat ditemui.

Utusan Borneo difahamkan, lokasi kejadian terletak kira-kira 13 batu nautika dari Jeti Seafest, Pekan Semporna dan berada dalam lingkungan jarak 2.4km dari Kulapuan.

Zainal, pemegang IMM13 ditemui maut di perairan Kulapuan pada 5 Julai lepas dengan dua pelancong China, Zhao Zheng, 26, dan Xu Ying Jie, 26, disyaki akibat bom ikan.

Mengulas lanjut, Omar berkata pertemuan dengan penduduk kampung membawa kepada petunjuk baharu kes apabila seorang lelaki tampil mendakwa mendengar bunyi letupan.

OMAR dan rombongan melawat perairan Kulapuan yang dikatakan sebagai lokasi kejadian dan tempat ketiga-tiga mayat ditemui.
OMAR dan rombongan melawat perairan Kulapuan yang dikatakan sebagai lokasi kejadian dan tempat ketiga-tiga mayat ditemui.

Saksi terbabit, nelayan, Ismail Nanding, 45, yang ditemui Utusan Borneo di Kulapuan, berkata bunyi letupan berkenaan didengarinya semasa bertukang membuat kelong.

“Saya sedang buat kelong dan tidak bawa jam tetapi mungkin letupan berlaku lebih jam 2 petang,” katanya, namun mengakui tidak dapat memastikan arah bunyi letupan terbabit.

Buat masa ini, polis menjalankan siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.