Anda di sini

Malaysia ‘Negara Keusahawanan’ tulen menjelang 2030

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional meletakkan Malaysia sebagai ‘Negara Keusahawanan’ tulen menjelang 2030.

Berucap melancarkan dasar yang mengandungi lima objektif dan enam elemen teras itu semalam Perdana Menteri berharap ia akan menjadi nukleus dan pemangkin kepada budaya keusahawanan.

“Untuk itu, setiap kementerian dan agensi pelaksana yang terbabit di dalam usaha membangun usahawan perlu bergerak sebagai satu pasukan dalam pelaksanaan dasar itu,” katanya pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Beliau menegaskan sebagai sebuah dasar yang holistik, Kementerian Pembangunan Usahawan perlu fokus untuk membina ekosistem keusahawanan yang inklusif.

Perdana Menteri berkata, dasar itu dirangka sedemikian rupa selaras dengan tumpuan yang perlu diberi kepada ‘domestic investment’ (DDI) selain pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan yang boleh merencat prestasi ekonomi negara.   

Objektif Dasar Keusahawanan Nasional itu antara lain mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.

Ia juga bertujuan meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan serta mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan dan industri kecil dan sederhana.

Antara unsur teras yang dikenal pasti untuk menunjangi usaha itu ialah pembudayaan keusahawanan, tumpuan kepada perusahaan berteraskan inovasi serta pemerkasaan prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, angka dan ramalan memperlihatkan keupayaan kerajaan untuk terus merancakkan ekonomi negara termasuk oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Beliau menarik perhatian bahawa laporan terkini IMF-World Economic Outlook 2019 memberikan unjuran yang sangat positif kepada Malaysia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar dan pendapatan per kapita diramal meningkat.

“Berasaskan ‘nilaian semasa’ Malaysia mampu mencapai status “ekonomi berpendapatan tinggi” menjelang 2021 atau 2022,” kata Dr Mahathir yang turut memberitahu bahawa di sebalik ketidaktentuan akibat perang dagang yang berlaku sekarang, Malaysia masih mampu menarik pelaburan luar.

Untuk suku pertama 2019, FDI mencecah RM21.7 bilion berbanding RM11.2 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, katanya.

“Angka dan ramalan memperlihatkan keupayaan kita untuk terus merancakkan ekonomi negara tetapi kita harus berhati-hati dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku keadaan yang memudaratkan pertumbuhan,” katanya.

Dr Mahathir juga menekankan bahawa Malaysia akan memberi fokus kepada ekonomi berasaskan prinsip kemakmuran bersama.

Ianya dilaksanakan dengan mengambil pendekatan meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan yang melampau.

“Kita berhasrat untuk melihat negara membangun dengan lebih pesat dan makmur, namun pembangunan ini tidak hanya dinilai melalui angka KDNK. Pembangunan dan kekayaan ini harus diagihkan dengan lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata, strategi-strategi Dasar Keusahawanan Negara dilihat seiring dan berupaya membantu mengisi dan memenuhi cita-cita negara untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama itu.

“Sudah pasti kemakmuran bersama akan turut mempunyai agenda Bumiputera yang lebih tersasar,” katanya.

Dr Mahathir turut memberikan sebab mengapa kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana.

“Mereka bukan sekadar untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat tetapi juga sebagai strategi dan inisiatif untuk mengeluarkan negara dari perangkap pendapatan pertengahan,” jelasnya. — Bernama

Advertisement