Anda di sini

Majlis ‘Belanggar Qapong Sebezaw’ meriah

Advertisement
 Penduduk kampung berbual dan menikmati hidangan bersama pada Majlis ‘Belanggar Qapong Sebezaw’.
HARMONI: Penduduk kampung berbual dan menikmati hidangan bersama pada Majlis ‘Belanggar Qapong Sebezaw’.

KEHADIRAN pengunjung pada Majlis ‘Belanggar Qapong Sebezaw’ sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di pekarangan Surau Darul Taqwa dan sepanjang jalan Kampung Sebiew di Bintulu kali ini adalah di luar jangkaan berbanding pada majlis sama tahun lepas.

Ia merupakan majlis kali kedua diadakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sebiew, Badan Warisan Sejarah dan Kebudayaan Vaie Bintulu  (BAWARIS) dan Skuad Prihatin Berkhidmat Berbakti (SPBB).

Majlis yang bermula pada jam 4.30 petang dan berakhir 11.30 malam itu bukan sahaja menghidangkan pelbagai juadah makanan tradisi bahkan diserikan dengan acara bergendang serta bermukun yang disertai oleh penduduk kampung bagi menghidupkan kembali majlis tradisi itu yang pernah diadakan setiap tahun oleh masyarakat Islam di Bintulu dan Sarawak amnya.

‘Belanggar meja’ mengikut pengertian bahasa Melanau ialah mengunjungi atau ziarah-menziarahi sesama masyarakat Islam dengan tujuan untuk mengukuhkan hubungan silaturahim dan perpaduan terutamanya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak.

 Penduduk pelbagai kaum memenuhi setiap ruang menjamu selera pada Majlis ‘Belanggar Qapong Sebezaw’.
SAMBUTAN HANGAT: Penduduk pelbagai kaum memenuhi setiap ruang menjamu selera pada Majlis ‘Belanggar Qapong Sebezaw’.

Tradisi berkunjung dari rumah ke rumah tersebut sejak kebelakangan ini semakin berkurangan berikutan perubahan zaman serta tuan  rumah pula lebih selesa untuk mengadakan majlis rumah terbuka dengan mempelawa tetamu datang ke rumah masing-masing.

Suasana meriah majlis itu tidak hanya dikongsi dengan masyarakat Islam di kampung terbabit sahaja bahkan penduduk pelbagai kaum bukan Islam di kawasan penempatan berdekatan.

Perasmian majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip.

Majlis itu turut dihadiri Pemanca Awang Merais Awang Ismail, Penghulu Derahman Sisi, mantan Ketua Kaum Kampung Sebiew Bujang Dollah, Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Sebiew Saiful Bahari Bujang serta ketua-ketua masyarakat di kampung-kampung berdekatan.

 Talib (kiri) menyampaikan duit raya sebagai sedekah jariah kepada kanak-kanak.
SEDEKAH JARIAH: Talib (kiri) menyampaikan duit raya sebagai sedekah jariah kepada kanak-kanak.

Sebelum majlis bermula, meja khas yang dikenali sebagai ‘kepala meja’ diletakkan kuih-muih tradisi untuk upacara perasmian.

Pengerusi penganjur merangkap Pengerusi BAWARIS Kairulnieza Waynie berkata, Majlis Belanggar Qapong Sebezaw 2019 menempatkan 30 buah meja makanan dan minuman.

“Ia dimulai dengan aktiviti pencak silat dan berakhir pada jam 11.30 malam dengan diseri aktiviti gendang bermukun,” ujarnya kepada Utusan Borneo di Bintulu, baru-baru ini.

Menurutnya, pengunjung yang hadir dianggarkan dalam lingkungan 1,000 orang terdiri daripada masyarakat kampung berdekatan termasuk kaum-kaum lain.

Beliau berkata, sambutan majlis pada kali ini lebih meriah berbanding pada tahun lepas dan antara sajian istimewa yang dapat dinikmati pada majlis itu ialah Te’bhes atau tumpik lemantak yang diperbuat daripada sagu yang dicampur dengan kelapa parut.

 Talib (dua kiri) bersama Awang Merais, Derahman, Jefferi dan Bujang (duduk) melihat hidangan tradisi  termasuk Te’bhes di kepala meja.
HIDANGAN TRADISI: Talib (dua kiri) bersama Awang Merais, Derahman, Jefferi dan Bujang (duduk) melihat hidangan tradisi termasuk Te’bhes di kepala meja.

Majlis itu juga menyaksikan Talib memasak Te’bhes untuk dihidangkan kepada para tetamu, menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak serta menyempurnakan upacara adat silam membuka tudung kepala meja.

Dalam pada itu Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak Jefferi Johari yang hadir pada majlis itu berkata, majlis berlanggar meja di Kampung Sebiew pada tahun ini disifatkan sebagai amat berjaya serta meriah meskipun telah memasuki penghujung bulan Syawal.

Begitupun katanya, yang penting ialah kehadiran Talib yang memeriah dan menyerikan majlis itu sebagai pemimpin yang mampu memberi galakan dan ikutan kepada penduduk pelbagai kaum untuk sama-sama meraikan perayaan bersama dengan semangat muhibah, harmoni dan bertoleransi.

  • oleh
  • Advertisement