Anda di sini

Lee terima anugerah khas CSR

Advertisement
LEE (dua, kanan) menerima Anugerah Khas pencapaian seumur hidup (tanggungjawab sosial) yang disampaikan oleh Hannah (dua, kiri) sambil disaksikan oleh Pengerusi bersama CSR Malaysia Lee Seng Chee (kiri) dan Pengerusi CSR Malaysia Datuk R. Rajendran (kanan).
LEE (dua, kanan) menerima Anugerah Khas pencapaian seumur hidup (tanggungjawab sosial) yang disampaikan oleh Hannah (dua, kiri) sambil disaksikan oleh Pengerusi bersama CSR Malaysia Lee Seng Chee (kiri) dan Pengerusi CSR Malaysia Datuk R. Rajendran (kanan).

KOTA KINABALU: Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye menerima anugerah khas pada Karnival Anugerah CSR Malaysia 2019, yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah New Straits Times Press (Malaysia) Bhd menerima anugerah berprestij itu daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh semasa jamuan makan tengah hari yang dianjurkan bersama Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia (CSR Malaysia) dan Komuniti Lestari Global.

Beliau yang kini berusia 73 tahun itu dipilih menerima anugerah utama berkenaan kerana sumbangan cemerlang dalam meningkatkan kesedaran mengenai CSR dan usaha mempromosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya.

Dalam satu kenyataannya, beliau amat gembira menerima anugerah itu dan mendedikasikannya kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja keras dalam melaksanakan program CSR selama ini.

"Pemberian anugerah ini juga mendorong saya untuk bekerja lebih keras untuk merealisasikan impian untuk membentuk rakyat Malaysia yang lebih prihatin," katanya.

Jelasnya lagi, CSR bukan inisiatif yang hanya dilakukan sekali sahaja tetapi ia harus menjadi usaha berterusan dan mapan untuk membantu masyarakat terutama mereka yang kurang bernasib baik.

Selain itu, Lee adalah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Yayasan EcoWorld dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor dan Persatuan Psikiatri Malaysia.

Beliau juga memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dan pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia.

Advertisement