Anda di sini

Ketua Menteri adakan lawatan ke Tambunan pada 20 Julai

Advertisement

TAMBUNAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang melakukan lawatan kerja ke daerah Tambunan pada 20 Julai ini akan melakukan majlis Pecah Tanah Bangunan Mahkamah Anak Negeri yang menelan belanja RM5 juta dan dijangka pembinaannya bermula Oktober depan.

Pegawai Daerah, Jumain Abdul Ghani berkata, pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri sudah lama dinanti-nantikan oleh masyarakat daerah ini dan pastinya kakitangan mahkamah akan lebih selesa dengan keadaan tempat yang baharu dan seterusnya akan mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat apatah lagi bangunan ini berada di kedudukan yang strategik.

Jumain memberitahu di sini pada Khamis berkata, majlis pecah tanah bangunan ini akan bermula pada jam 1.00 petang dan ini diikuti dengan perasmian Kolej Komuniti Tambunan yang telah siap sepenuhnya pada jam 2.00 petang.

Menurut beliau, kolej ini yang berharga RM20 juta akan memberikan manfaat kepada para pelajar di daerah ini dan luar daerah untuk mengikuti program-program kemahiran yang ditawarkan seperti Sijil Agroteknologi, Sijil Pelancongan dan Pengembaraan, dan Sijil Penyelenggaraan Kenderaan Pacuan Empat Roda.

“Ketua Menteri akan bergerak ke Pisompuruan Square pada jam 4.00 petang dalam program Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Tambunan di mana pelbagai aktiviti diadakan pada majlis itu.

“Antara tetamu-tetamu kenamaan lain yang akan turut hadir ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedict, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Haji Aidi Moktar, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob dan beberapa menteri Kabinet Sabah lain,”katanya.

Jumain menjangkakan 5,000 orang akan hadir bagi ketiga-tiga program itu termasuk pemimpin-pemimpin kerajaan, ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan pelajar-pelajar sekolah.

Advertisement