Anda di sini

Kerjasama pintar UMS-Huawei pacu pembangunan pelajar

ROMBONGAN UMS bersama pegawai Huawei d Huawei University, Shenzhen. Turut kelihatan Kamarudin (empat kanan).
ROMBONGAN UMS bersama pegawai Huawei d Huawei University, Shenzhen. Turut kelihatan Kamarudin (empat kanan).

SHENZHEN: Kerjasama pintar antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd kini giat dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan pelajar UMS dengan memberi latihan khusus dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, bagi tujuan pembangunan pelajar, Huawei telah mewujudkan Huawei Authorized Information Network Academy (HAINA) di dalam kampus.

“Melalui HAINA, Huawei mengiktiraf UMS sebagai pusat latihan dan pensijilan bagi sijil profesional Huawei seperti Huawei Certified Network Academy (HCNA) dan Huawei Certified ICT Associate (HCIA).

“Pihak Huawei juga menyumbang peralatan ICT di pusat HAINA untuk aktiviti latihan, selain memberi bantuan dalam latihan pelajar UMS untuk tujuan pensijilan HCNA/HCIA serta mempersiapkan staf UMS sebagai tenaga pengajar (instruktor) yang bertauliah dan diiktiraf.

“Pensijilan HCNA/HCIA ini berupaya meningkatkan kebolehpasaran serta prospek kerjaya para graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di Ibu Pejabat Huawei di Shenzhen China pada Khamis.

Menurut Kamarudin, pada ketika ini seramai tujuh staf akademik UMS telah mendapat pensijilan Huawei Certified ICT Instructor (HCAI) dan selanjutnya diiktiraf sebagai tenaga pengajar kursus Huawei.

“Sehingga bulan Jun 2019, sudah terdapat tiga kumpulan pelajar UMS iaitu seramai 107 orang telah berjaya mendapat pensijilan sama ada dalam HCNA atau pun HCIA.

“Secara komersilnya, kos keseluruhan untuk kursus dan pensijilan ini sebenarnya mencecah sehingga RM15,000 seorang, namun buat masa ini ia percuma untuk pelajar UMS.

“Pada masa akan datang, kita merancang agar pensijilan ini akan dibuka kepada orang perseorangan pada kadar yuran yang berpatutan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata seiring dengan keperluan di era Industri 4.0, UMS perlu melaksanakan transformasi digital kepada sebuah kampus pintar agar terus relevan kepada keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh.

Sehubungan itu, katanya, pihak Huawei melalui kerjasama yang terjalin juga akan bertindak sebagai penasihat teknikal bagi merealiasikan matlamat itu.

“UMS berhasrat untuk menjadi sebuah Smart Campus yang terkenal di rantau ini serta sebagai antara universiti pertama yang mengguna pakai teknologi terbaharu, termasuklah 5G.

“Transformasi ini akan dipacu oleh beberapa pembolehubah, termasuklah ketersediaan dana dan kewujudan infrastruktur serta ICT yang terkini.

“Dalam hal infrastruktur dan ICT, UMS memerlukan nasihat teknikal dari pelbagai pihak, termasuk pihak industri seperti Huawei,” jelasnya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Huawei atas kerjasama dan sumbangan yang telah diberikan selama ini.

Untuk rekod, kerjasama UMS-Huawei secara rasminya bermula pada tahun 2017 melalui satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Lanjutan daripada itu, kerjasama UMS-Huawei diperkukuhkan lagi pada tahun ini dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di Shenzhen, China yang turut disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal pada April lalu.