Anda di sini

Kerajaan pandang serius Rukun Tetangga yang tidak aktif

FARID (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada seorang kanak-kanak dalam majlis berkenaan.
FARID (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada seorang kanak-kanak dalam majlis berkenaan.

PUTATAN: Kerajaan akan memikirkan cara untuk membantu Rukun Tetangga yang tidak aktif di kawasan masing-masing dalam negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik berkata, Rukun Tetangga mempunyai peranan penting dalam negara ini sebagai agen perpaduan dalam kalangan rakyat di kawasan masing-masing.

"Saya sedar sememangnya ada Kawasan Rukun Tetangga yang tidak aktif dan kita perlu tahu apa sebabnya.

"Kita ingin tahu agar kerajaan dapat mencari cara membantu Rukun Tetangga ini diaktifkan semula.

"Selain mengharapkan geran daripada kerajaan, kita juga perlu lihat bagaimana mereka mampu menjana pendapatan sendiri bagi melaksanakan aktiviti di peringkat akar umbi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Perpaduan Kelas Tabika Perpaduan Daerah Putatan, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Sabah mempunyai sejumlah lebih seribu Rakan Tetangga dan kebanyakan sangat aktif. Terdapat dalam kalangan mereka menjadi contoh dari segi pengurusan dan sebagainya.

Katanya, program yang diadakan itu adalah kesinambungan daripada usaha dilaksanakan tahun lepas.

"Kita sememangnya tidak dapat melawat semua tempat, oleh itu kita memilih negeri, daerah dan kawasan terpilih bagi melaksanakan program ini.

"Program seperti ini penting untuk membawa pemimpin dari semua peringkat untuk bersama-sama turun padang menjayakan agenda perpaduan," katanya.